KUALA LUMPUR, Khamis, 22 Januari 2015 : Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini telah mengumumkan Bonus Bagi Tahun Kewangan 2014 kepada para pendeposit TH dengan kadar sebanyak 6.25% sebagai Bonus Tahunan dan tambahan Bonus Haji sebanyak 2.0%.
Majlis pengumuman bonus tersebut berlangsung di Dewan Utama, Bangunan Ibu Pejabat TH, Kuala Lumpur dan disempurnakan oleh YB. Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Haji Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Selain daripada menghargai kesetiaan pendeposit yang sentiasa yakin dan aktif menyimpan dana di TH, pemberian bonus tahun ini juga memberi keutamaan kepada para pendeposit yang belum menunaikan haji dan tabungan mereka ini kurang daripada jumlah Kos Haji. Mereka ini merupakan majoriti daripada jumlah keseluruhan pendeposit TH.
Pembayaran kedua-dua bonus tersebut berjumlah RM3.2 bilion, peningkatan 23.0% berbanding jumlah tahun 2013 (RM2.6 bilion). Jumlah ini merupakan pembayaran bonus tertinggi sejak penubuhan TH.
Peningkatan pembayaran bonus ini berjaya dibuat kerana TH mencatatkan buat julung-julung kalinya keuntungan bersih selepas zakat TH 2014 berjumlah RM3.3 bilion iaitu peningkatan sebanyak 24% berbanding RM2.6 bilion bagi tahun 2013.
“Tahun 2014 merupakan tahun yang sukar bagi Negara kita dan kita menjangkakan tahun 2015 akan lebih mencabar. Oleh itu, para pendeposit perlu sedar ‘hibah’ atau hadiah yang diberi oleh TH tidak boleh kekal dengan kadar meningkat kerana ianya bergantung kepada kemampuan kewangan dari tahun semasa ke semasa”, kata YB. Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Haji Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
“Namun disebalik cabaran-cabaran tersebut, TH bertuah kerana masih dapat menjana pulangan yang baik, hasil pelaburan TH yang berhemah dan bertanggungjawab di dalam pelbagai sektor industri dan aktiviti-aktiviti pelaburan patuh syariahnya. TH juga sentiasa merangka pelbagai pelan perniagaan jangka pendek dan panjang, bagi memastikan penjanaan pulangan mampan” tambah beliau.
Majlis tersebut juga turut dihadiri oleh YB. Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengerusi TH dan YBhg. Tan Sri Ismee Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif TH, Ahli-ahli Lembaga Pengarah TH serta pegawai-pegawai kanan TH.
- Tamat –