KUALA LUMPUR, 4 Januari 2018 - Lembaga Tabung Haji (TH) mengulas kepada pertanyaan pihak media mengenai pelaksanaan Cukai Nilai Tambah (VAT) pada kadar lima peratus yang diperkenalkan oleh Kerajaan Arab Saudi baru-baru ini dan impaknya kepada kos operasi haji.
Datuk Seri Johan Abdullah, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH mengulas, TH sedia maklum dan telah mengambil kira faktor cukai nilai tambah tersebut dalam pengiraan kos operasi musim haji 1439H/2018M.
Pelaksanaan cukai tersebut tidak memberi impak secara langsung kepada Jemaah Haji Muassasah kali pertama kerana bayaran haji kekal sebanyak RM9,980.00. Namun begitu, keseluruhan subsidi haji yang akan ditanggung oleh TH dijangka meningkat kepada RM400 juta seperti yang telah diumumkan TH bulan lalu.
Dalam mendokong aspirasi Kerajaan untuk menjaga kebajikan Jemaah Haji Malaysia agar dapat menunaikan ibadah haji dengan selesa, TH sejak tahun 2009, telah menanggung lebih daripada RM1 billion subsidi haji, tambah beliau lagi.
Tamat