KUALA LUMPUR, 25 November 2022 – Lembaga Tabung Haji (TH) akan menganjurkan Kursus Asas Haji (KAH) 1444H/2023M bagi bakal bakal haji bermula 25 November 2022 sehingga 17 Februari 2023 di 201 masjid di seluruh negara.
Keutamaan untuk menyertai KAH akan diberikan kepada bakal jemaah haji yang tersenarai untuk menunaikan ibadat tersebut pada 2022 dan juga mereka yang tidak dapat mengikutinya sebelum ini disebabkan penangguhan ibadat haji selama dua tahun akibat COVID-19.
Walaubagaimana pun KAH turut terbuka kepada semua umat Islam Malaysia yang berminat untuk mendalami dan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan berkaitan ibadat haji dan umrah.
KAH diadakan pada setiap hujung minggu bermula dari bulan Rabiul’Akhir dan merupakan kursus haji peringkat pertama yang perlu diikuti oleh bakal-bakal jemaah haji.
KAH bertujuan untuk melahirkan jemaah haji yang berpengetahuan ketika melaksanakan ibadat haji. Modul yang disediakan memberi penekanan kepada perlaksanaan ibadat haji termasuk falsafah haji, sejarah, rukun-rukun haji dan umrah, perkara wajib haji dan umrah serta perkara berkaitan isu-isu wanita.
TH percaya melalui KAH, para bakal haji bukan sahaja dapat mempelajari ilmu berkaitan ibadat haji, malah tentang kemahiran kendiri, termasuk penjagaan kesihatan dan kebersihan, selain menghayati konsep ‘Istito’ah’ yang menjadi kewajipan dalam pelaksanaan haji.
Sebanyak 13 siri KAH akan dijalankan di seluruh negara secara berperingkat bertempat di masjid-masjid terpilih dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri dan Jawatankuasa Masjid.
Bakal haji yang berminat hanya perlu mendaftar di masjid-masjid yang terlibat dan jadual kursus boleh disemak di laman web rasmi TH, www.tabunghaji.gov.my
- Tamat –