KUALA LUMPUR, 11 November 2022 – Kesejahteraan sosial golongan orang kurang upaya (OKU) mental akan diperkasakan lagi menerusi kerjasama tiga pihak melibatkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Lembaga Tabung Haji (TH) dan hospital-hospital kerajaan yang menyediakan sokongan dan latihan pekerjaan sehingga mereka kembali berdikari dan mampu menyara diri dan keluarga.
Kerjasama ini telah melahirkan Projek Caring Centre di bawah Program Cakna Prihatin PERKESO-TH, yang menyaksikan penubuhan 16 Caring Centre di hospital-hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh negara, termasuk Hospital Kuala Lumpur (HKL). Projek Caring Centre bertindak sebagai inisiatif perlindungan sosial kepada golongan OKU mental melalui sokongan kembali bekerja atau Return to Work (RTW) PERKESO, dengan kerjasama Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Di HKL, Projek Caring Centre berlandaskan konsep Green House (tanaman agrikultur), produk kraftangan, dan kiosk jualan yang diusahakan oleh pesakit psikiatri sebagai platform persediaan integrasi semula ke dalam masyarakat dan alam pekerjaan, termasuk bekerja sendiri. Sejak diperkenalkan pada tahun 2007 sehingga kini, Program RTW PERKESO telah membantu seramai 49,363 orang pekerja yang mengalami hilang upaya akibat kecederaan dan penyakit termasuk hilang upaya mental, untuk bekerja semula setelah mengikuti program rehabilitasi vokasional.
Ketua Eksekutif PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Dato’ Aziz Mohammed berkata, pembangunan Projek Caring Centre adalah tepat pada waktunya, apabila isu kesihatan mental semakin ketara dalam masyarakat akibat kesan pandemik COVID-19.
“Projek ini, yang dikendalikan bersama antara Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental di hospital-hospital Kerajaan dan Program RTW PERKESO, menumpukan usaha kepada aktiviti intervensi yang lebih relevan dengan menggunakan kepakaran daripada interdisciplinary team agar pekerja yang menghidapi masalah kesihatan mental, dapat merasai peluang untuk bekerja semula dan kembali kepada masyarakat,” ujar beliau sewaktu Majlis Pelancaran Projek Caring Centre MENTARI Kuala Lumpur semalam.