KUALA LUMPUR, 10 NOVEMBER 2023: Lembaga Tabung Haji (TH) telah diiktiraf sebagai Penerima Terbaik Trek Sosial Anugerah Inovasi Sektor Awam bagi projek yang berimpak tinggi untuk inisiatif perkhidmatan digital THiJARI.
Majlis Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AIPSA) bagi tahun 2023 telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bertemakan "Malaysia Madani Memperkasa Inovasi".
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Syed Hamadah Syed Othman berkata anugerah ini merupakan pengiktirafan kepada TH disamping mencerminkan komitmen dan usaha jitu warga TH dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada lebih 9 juta pendeposit melalui aplikasi THiJARI, selari dengan usaha TH ke arah digitalisasi.
“THiJARI adalah inisiatif dan komitmen TH untuk memudahkan para pendeposit melakukan transaksi secara dalam talian dengan selamat tanpa perlu hadir ke pejabat cawangan,” kata beliau.
“Anugerah ini juga menandakan kepercayaan yang tidak terhingga oleh pendeposit kami dan TH sentiasa berusaha untuk memberikan kemudahan serta perkhidmatan yang terbaik kepada para pendeposit TH,” tambah beliau.
Pemilihan penerima terbaik adalah berdasarkan kepada empat (4) kriteria penilaian iaitu berimpak tinggi, nilai untuk wang, pendigitalan dan kemampanan.
Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri telah menerima 313 penyertaan dimana sebanyak 34 telah disenarai pendek ke Jawatankuasa Pencalonan AIPSA.
Anugerah ini diwujudkan untuk mengiktiraf dan meraikan agensi yang telah memberi sumbangan signifikan dan nilai tambah kepada penyampaian perkhidmatan awam melalui penghasilan inovasi.
-Tamat-