KUALA LUMPUR, 3 NOVEMBER 2017: Lembaga Tabung Haji ingin menasihatkan para pendepositnya agar JANGAN PERCAYA sekiranya menerima panggilan telefon yang mendakwa sebagai kakitangan TH berhubung dengan transaksi pemindahan wang.
TH telah menerima aduan daripada pendepositnya, ada satu sindiket yang menyamar sebagai anggota TH telah menghubungi mereka dan memaklumkan berlaku transaksi pindahan wang dari akaun TH kepada pihak ke tiga melalui sebuah bank komersial tempatan.
Untuk melakukan pengesahan transaksi, pemanggil memaklumkan akan mengalih panggilan tersebut ke Balai Polis Kota Kinabalu, di mana pegawai balai akan mendapatkan maklumat akaun pendeposit.
Sehubungan dengan itu, dimaklumkan bahawa pihak TH TIDAK PERNAH menghubungi mana-mana pendeposit bagi tujuan sebarang transaksi pemindahan wang. Peraturan pengeluaran atau pindahan wang juga tidak boleh dilaksanakan melalui panggilan telefon.
TH ingin memaklumkan panggilan ini adalah PALSU dan menasihati para pendeposit TH supaya berwaspada dan tidak menuruti arahan pemanggil atau mendedahkan maklumat akaun mereka kepada orang yang tidak dikenali.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila berhubung dengan THCC di talian 03-62071919
Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat
Lembaga Tabung Haji
- Tamat -