SEPANG, 26 SEPTEMBER 2018: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menamatkan operasi bagi Musim Haji 1439H/2018M dengan ketibaan penerbangan terakhir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Penerbangan FLYNAS XY7710 yang bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz ini membawa seramai 492 orang jemaah haji (205 jemaah lelaki; 287 jemaah wanita) dan tiba di tanah air pada hari ini tadi; Rabu, 26 September 2018 (4:02 pagi; waktu Malaysia). Ketibaan kumpulan akhir jemaah haji ini juga turut menandakan operasi haji bagi Musim Haji 1439H/2018M telah selamat dilaksanakan dengan jayanya.
Haji Mohd Hisham Harun, Timbalan Pengarah Gerakan Operasi Haji Tanah Air 1439H/2018M mengambil kesempatan bersalaman dan mengucapkan selamat pulang dan tahniah kepada para jemaah haji yang telah selesai menunaikan fardhu haji dengan selamat. Ketibaan para jemaah haji juga disambut gembira oleh ahli keluarga dan sanak saudara masing-masing di KLIA sejak awal pagi.
Operasi haji pada tahun ini telah menggunakan sebanyak 81 penerbangan sewa khas yang membabitkan 40 pesawat Malaysia Airlines Berhad dan 41 pesawat Flynas.
Seramai tiga (3) orang jemaah haji masih menerima rawatan di hospital Arab Saudi (satu (1) di Madinah; dua (2) di Makkah). Kesemua jemaah haji ini dipantau dengan rapi oleh Pejabat TH Jeddah dan akan dibawa pulang setelah dibenarkan oleh pihak hospital.
TH mengucapkan terima kasih kepada agensi-agensi yang terlibat dalam menjayakan Operasi Haji Tanah Air 1439H/2018M iaitu Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Malaysia Airports Holdings Berhad, Kementerian Luar dan Jabatan Imigresen Arab Saudi dan Malaysia Airlines Berhad.
-Tamat-
26092018_SIARAN AKHBAR- OPERASI MUSIM HAJI 1439H 2018M SELESAI.pdf