SEPANG, Jumaat, 10 Oktober 2014 : Kumpulan pertama seramai 444 Jemaah Haji telah selamat tiba di KLIA setelah melaksanakan ibadah haji pada Musim Haji 1435H/2014M. YB. Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengerusi TH serta pihak Pengurusan Kanan TH telah hadir untuk menyambut ketibaan semua jemaah haji penerbangan balik pertama tersebut di Balai Ketibaan (B4), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Penerbangan terus dari Jeddah ke KLIA dengan menggunakan pesawat Saudi Arabian Airlines (SV 5506) terdiri daripada 205 orang jemaah lelaki dan 239 orang jemaah wanita. Para jemaah berkenaan berlepas dari Jeddah, Makkah pada jam 7.00 pagi (waktu Saudi) atau jam 12.00 tengahari (waktu Malaysia) dan tiba pada jam 8.50 malam di KLIA.
YB. Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mengambil kesempatan bersalaman dan mengucapkan selamat pulang ke tanah air serta mengucapkan tahniah kepada kumpulan jemaah pertama ini kerana telah selesai menunaikan fardhu haji pada musim haji tahun ini. Ketibaan para Jemaah Haji ini turut disambut oleh ahli-ahli keluarga dan saudara mara masing-masing yang sudah berada di Balai Ketibaan, KLIA sejak awal lagi.
YB. Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dalam kenyataannya berkata, beliau amat bersyukur kerana operasi Musim Haji tahun ini telah berjalan dengan baik dan lancar. Pergerakan jemaah di Tanah Suci lebih sistematik rentetan beberapa penambahbaikan perkhidmatan yang dilaksanakan oleh TH dan juga kerajaan Arab Saudi. Beliau juga mengharapkan para jemaah dapat menjadikan pengalaman semasa berada di Tanah Suci sebagai panduan dan iktibar sekembalinya ke tanah air ini.
Dalam masa sama, YB. Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim turut merakamkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada semua petugas haji serta agensi-agensi terlibat pada musim ini kerana menjalankan tugas dengan baik dan jayanya. Semua urusan berkaitan jemaah negara ini dapat dilaksanakan dengan profesional dan segala kesulitan serta masalah dapat ditangani dengan bijaksana.
-Tamat-