PETALING JAYA, Jumaat, 5 Oktober 2012: Satu kebakaran terpencil, sebuah kabin menyimpan dan mengagihkan barangan hadiah sumbangan syarikat korporat untuk diberikan kepada bakal-bakal haji seperti beg selempang, beg beroda dan tag bagasi telah berlaku di Kompleks Haji Kelana Jaya pada pukul 11.30 pagi tadi.
Kebakaran yang menurut laporan awal pihak bomba disebabkan oleh litar pintas panel elektrik di dalam kabin tersebut, tidak menganggu dan menjejaskan operasi haji di stesen berlepas Kelana Jaya. Operasi perlepasan bakal-bakal haji dari stesen berlepas Kelana Jaya akan beroperasi seperti biasa.
Tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan yang dilaporkan kerana ketika kejadian tiada penerbangan yang dijadualkan dan bakal-bakal haji hanya akan melaporkan diri di stesen berlepas Kelana Jaya pada pukul 9.50 malam ini.
Ketika kejadian, anggota Tabung Haji turut cuba memadamkan kebakaran. Namun keadaan cuaca yang panas dan angin kuat menyebabkan api marak dengan pantas. Walaubagaimana pun kebakaran dapat dikawal dengan baik oleh pihak bomba.
-Tamat-