SHAH ALAM, Jumaat, 19 September 2014: Yang Berhormat Dato’ Sri Haji Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) pada hari ini mengadakan lawatan dan menziarahi keluarga Allahyarham Ab Khalid Bin Md Yusof, 59, di Kampung Melayu Subang, Shah Alam, Selangor.
Allahyarham Ab Khalid dilaporkan telah meninggal dunia pada 16 September 2014 jam 6.30 petang (waktu Saudi) akibat serangan jantung. Jenazah Allahyarham telah diuruskan oleh para petugas TH di Makkah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Syara’ek di Makkah.
Allahyarham Ab Khalid Bin Md Yusof bersama isterinya, Hendon Binti Abdul Karim telah berangkat ke Tanah Suci pada 5 September 2014 yang lalu. Allahyarham meninggalkan seorang balu dan lima (5) orang anak.
Yang Berhormat Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dalam kenyataanya yang mewakili seluruh warga kerja TH merakamkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham Ab Khalid. Beliau berharap semoga seluruh keluarga terutamanya anak-anak Allahyarham diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian dan kehilangan insan tercinta. Beliau juga turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, mendapat keampunan Allah SWT, serta ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh.
Dalam lawatan yang sama, Yang Berhormat Datuk Azeez turut menyampaikan bantuan khairat kematian sumbangan TH kepada waris Allahyarham.
Turut serta dalam program ziarah ini adalah para pegawai serta kakitangan TH khususnya negeri Selangor.
-Tamat-