Lembaga Tabung Haji (TH) telah selesai Fasa Kedua Operasi Haji dengan ketibaan kumpulan terakhir Jemaah Haji Malaysia seramai 475 orang menerusi penerbangan carter MH8383 pada 4.10 pagi tadi.
Para jemaah tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohamad bin Abdulaziz, Madinah pada pukul 1:58 petang waktu Arab Saudi (12 September 2019). Ketibaan kumpulan terakhir ini menandakan berakhirnya Operasi Haji TH bagi Musim 1440H|2019M.
“Secara keseluruhannya, operasi haji tahun ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden besar yang tidak diingini. Rata-rata Jemaah Haji Malaysia dapat menyelesaikan ibadat haji mereka dengan sempurna. TH ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutama Kedutaan Besar Diraja Arab Saudi di Malaysia, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Muassasah Asia Tenggara serta agensi-agensi yang terlibat antaranya Kementerian Kesihatan, Jabatan Kastam, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen, Malaysia Airlines, Flynas, Malaysia Airports, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri-negeri yang telah banyak membantu dalam memastikan kelancaran operasi haji di Tanah Air dan Tanah Suci pada musim haji kali ini,” ulas Nik Mohd Hasyudeen bin Yusoff, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH.
TH juga ingin merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada semua Jemaah Haji Malaysia yang telah memberi kerjasama kepada pihak TH dalam mengendalikan urusan haji pada tahun ini.
Pada musim ini, seramai 24 orang jemaah haji negara meninggal dunia ketika di Tanah Suci (15 lelaki; 9 wanita). TH telah selesai melaksanakan badal haji bagi mereka yang meninggal dunia sebelum Wuquf dan turut menziarahi waris-waris jemaah haji tersebut di Tanah Air bagi memberi sumbangan dan sokongan moral.
Sehingga hari ini, seramai tiga (3) orang jemaah haji negara masih menerima rawatan di Hospital King Abdullah di Jeddah (seorang) dan di Hospital Al Ahmadi Madinah (2 orang).
TH sentiasa berusaha untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada Jemaah Haji Malaysia setiap tahun. Satu sesi post-mortem akan dilaksanakan tidak lama lagi bagi menilai semula semua sudut operasi dan mencari ruang penambahbaikan.
Surat tawaran untuk menunaikan haji bagi Musim Haji 1441H/2020M dijadualkan akan dikeluarkan bermula November 2019 secara berperingkat-peringkat. TH menasihati para pendeposit untuk mengemaskini maklumat masing-masing seperti alamat, nombor telefon, maklumat waris dan sebagainya dengan mengunjungi cawangan-cawangan TH berdekatan. Ini bagi mengelakkan surat tawaran haji tidak diterima kerana kesilapan alamat dan butiran peribadi yang tidak dikemaskini.
13092019_PR_KUMPULAN TERAKHIR JEMAAH HAJI MALAYSIA SELAMAT TIBA DI KLIA.pdf