KUALA LUMPUR, 4 September 2020 – Lembaga Tabung Haji (TH) menyarankan kepada para pendeposit TH yang tidak melakukan sebarang transaksi di TH melebihi tujuh (7) tahun berturut-turut mulai tahun 2013 untuk berbuat demikian bagi mengelakkan akaun mereka dikategorikan sebagai tidak aktif atau berstatus dorman.
Mana-mana pendeposit yang tidak melakukan sebarang transaksi melebihi tujuh (7) tahun akan dikategorikan sebagai akaun dorman. Walau bagaimanapun, simpanan yang terdapat dalam akaun dorman ini masih lagi boleh dituntut dan dibayar kepada pendeposit TH apabila akaun tersebut diaktifkan semula dengan melakukan sekurang-kurangnya satu (1) transaksi simpanan atau pengeluaran wang. Transaksi boleh dilakukan di 10,000 touch points TH samada melalui kaunter, dalam talian dan mesin ATM/CDM rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Maybank, Bank Rakyat dan CIMB.
Adalah penting supaya akaun pendeposit TH berstatus aktif, agar mereka terus menikmati manfaat menyimpan di TH seperti, simpanan dijamin kerajaan, mendapat agihan keuntungan, zakat dibayar, patuh syariah, dikecualikan cukai dan juga turut serta dalam kempen simpan, daftar dan menang.
Saban tahun, TH akan mengingatkan para pendeposit untuk memastikan status akaun sentiasa aktif, di samping mengemaskini data peribadi seperti alamat, nombor telefon dan penamaan waris bagi memudahkan TH menghubungi pendeposit atau waris mereka untuk urusan penghantaran surat tawaran haji dan pengurusan akaun.
Untuk sebarang pertanyaan berkaitan akaun tidak aktif atau sebarang perkhidmatan TH, orang ramai boleh menghubungi talian Khidmat Pelanggan (THCC) di 03-6207 1919.
SIARAN AKHBAR - TH SARAN PENDEPOSIT PASTIKAN AKAUN KEKAL AKTIF - FINAL 04092020.pdf