KUALA LUMPUR, 3 September 2021 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini melancarkan Rangka Kerja Pengawasan (RKP) sebagai asas kawalan tadbir urusnya dalam usaha memastikan ia dapat menunaikan mandat pengurusan haji bertaraf dunia dengan lebih berkesan dan lestari.
RKP ini adalah berlandaskan konsep Maqasid Shariah yang merangkumi lima prinsip utama iaitu perlindungan agama, nyawa, akal, harta benda dan generasi akan datang.
"Sebagai institusi Islam yang menguruskan simpanan deposit umat Islam Malaysia, TH bertanggungjawab memastikan kami sentiasa menambah baik cara untuk menunaikan amanah ini. Pengenalan RKP ini adalah sebagai panduan utama bukan sahaja kepada pemimpin dan warga hari ini, malah untuk para pemimpin dan warga kerja TH yang akan datang,” kata Pengerusi TH, Tan Sri Md Nor Yusof.
TH mula ditubuhkan pada tahun 1963 dan bertujuan untuk membantu mereka yang ingin menunaikan haji. Kini, kira-kira separuh daripada umat Islam di Malaysia atau 8.3 juta orang telah mendaftar sebagai pendeposit di TH. Sepanjang 58 tahun penubuhannya, TH telah menguruskan ibadah haji kepada 1.5 juta orang seluruh negara. Pembangunan TH selama hampir enam dekad ini juga telah mendorong institusi haji ini untuk mengukuhkan struktur tadbir urusnya dengan lebih baik menerusi RKP.
Objektif utama RKP TH adalah merangkumi prinsip Maqasid Shariah – iaitu menjalankan kerja-kerja operasi dengan mematuhi prinsip-prinsip Syariah dan menegakkan tadbir urus korporat yang kukuh dah berintegriti.
Penubuhan TH sendiri adalah berakar umbi dari Maqasid Shariah di mana pada asalnya, bertitik tolak dari idea Profesor Diraja Ungku Aziz bagi membantu umat Islam menyimpan secara beransur-ansur agar mereka terhindar daripada masalah kewangan setelah kembali dari menunaikan haji. Ini kerana kebanyakan mereka akan menjual harta benda berharga seperti tanah atau ternakan untuk perbelanjaan haji. Dengan penubuhan TH, umat Islam boleh melakukan ibadah haji dengan selamat dan bertanggungjawab, selaras dengan prinsip Maqasid Syariah.
Bersempena pelancaran ini juga, pelbagai program dan aktiviti dalaman akan dilaksanakan dengan penglibatan warga kerja dalam usaha memperkuatkan tadbir urus korporat TH seterusnya.
“Dengan pengalaman lebih 58 tahun dalam operasi patuh syariah, kami harus memastikan aspek kelestarian untuk jangka masa panjang. Oleh yang demikian, TH komited untuk menerapkan prinsip Maqasid Syariah dalam semua aktiviti harian yang dilakukan di samping memastikan Anggota Lembaga, Panel Pelaburan, Pengurusan Kanan dan warga kerja sentiasa mendokong empat prinsip utama iaitu nilai dan prinsip Islam, kepimpinan beretika yang berkesan, kawalan dalaman dan pengurusan risiko yang berkesan, dan akauntabiliti kepada pihak berkepentingan,” jelas Tan Sri Mohd Nor lagi.
-Tamat-
03092021_SIARAN AKHBAR TH - TH LANCAR RANGKA KERJA PENGAWASAN KUKUHKAN ASAS TADBIR URUS.pdf