BAYAN LEPAS, Jumaat, 3 Ogos 2012: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menganjurkan majlis berbuka puasa sempena penyerahan surau kepada Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan sumbangan zakat sempena Aidilfitri kepada golongan asnaf yang diadakan di TaHa D’ Mutiara, Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Tahun ini TH mensasarkan agihan zakat sejumlah RM1.3 juta kepada lebih daripada 2,600 orang golongan asnaf di seluruh negara. Manakala untuk majlis pada hari ini, TH memperuntukkan sejumlah sumbangan kepada 50 orang penerima sumbangan zakat terdiri daripada 25 orang ibu tunggal dan 25 orang warga emas dalam pelbagai bentuk sumbangan. Pada awal tahun ini juga, TH telah membayar RM1.6 juta zakat kepada pusat zakat Pulau Pinang, sebagai sebahagian daripada tanggungjawabnya.
Majlis hari ini telah diserikan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama (Dr) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, yang menyampaikan sumbangan kepada penerima-penerima yang dijemput khas dari beberapa daerah seperti Kepala Batas, Butterworth, Bukit Mertajam, Bayan Lepas, Balik Pulau dan Georgetown.
Terdahulu, dalam majlis yang sama, TH turut menyerahkan surau dua tingkat As Saadah yang dibina di Kampung Perlis, Bayan Lepas kepada Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP). Surau berkeluasan 909 meter persegi bernilai RM1.08 juta yang dibina di atas tanah milik TH boleh memuatkan seramai 200 jemaah dalam satu-satu masa adalah untuk menggantikan surau lama di kampung tersebut yang telah uzur.
“Sebagai sebuah institusi Islam, Tabung Haji sentiasa beriltizam untuk menggalas tanggungjawabnya dengan baik terutamanya dalam soal pembayaran zakat ke setiap negeri di seluruh Malaysia. Program-program tanggungjawab sosial korporat yang dilaksanakan oleh Tabung Haji juga jelas memperlihatkan sifat prihatin dan tanggungjawab terhadap keperluan masyarakat Islam setempat khususnya golongan asnaf”, kata Dato’ Paduka Ismee Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji.
Selain program Ramadan, TH juga turut melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat yang lain untuk manfaat dan kesejahteraan komuniti Islam setempat khususnya golongan asnaf seperti program pembinaan rumah, kesihatan serta pendidikan di setiap negeri di seluruh Malaysia.
Majlis turut dihadiri oleh Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Hajah Majimor binti Sharif, isteri Yang di Pertua Pulau Pinang, Yang Berbahagia Datin Paduka Rozzalena Zakaria, isteri Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Salleh bin Man, Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Yang Berhormat Dato’ Farizan Darus, Setiausaha Kerajaan Negeri, Sahibul Samahah Yang Berbahagia Dato’ Seri Haji Hassan Ahmad, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Yang Berhormat Dato’ Mokhtar Mohd Jait, Pegawai
Kewangan Negeri, Yang Berbahagia Dato’ Sazali Haji Hussein, barisan pengurusan Tabung Haji Negeri dan keluarga penerima.
-Tamat-