KUALA LUMPUR, 24 Julai 2020 – CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) selaku rakan strategik Lembaga Tabung Haji (TH) telah memanjangkan perkhidmatan TH yang kini merangkumi perbankan dalam talian (online banking) menerusi CIMB Clicks.
Sebelum ini, kolaborasi antara TH dan CIMB Islamic sejak tahun 2019 telah pun memberi akses kepada perkhidmatan TH di lebih 2,900 rangkaian terminal layan diri CIMB seluruh Negara.
Pengenalan akses terbaharu melalui CIMB Clicks ini pasti akan memudahkan hampir sembilan (9) juta pendeposit TH melaksanakan transaksi TH seperti pindahan wang dari akaun TH ke akaun CIMB dan sebaliknya; pindahan wang ke akaun pihak ke-3 TH, pertanyaan baki simpanan serta pendaftaran dan pembatalan "link‟ akaun TH kepada akaun CIMB.
Encik Ahmad Shahriman Mohd Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic berkata, dengan adanya kemudahan perbankan dalam talian CIMB Clicks, pelanggan-pelanggan CIMB, tidak kira sama ada mereka mempunyai akaun CIMB Bank atau CIMB Islamic boleh mengakses perkhidmatan TH sekali gus melakukan transaksi di mana-mana dan pada bila-bila masa. Kemudahan dan akses atas talian ini akan ditambah nilai dari semasa ke semasa, selaras dengan iltizam kami untuk membangun CIMB sebagai sebuah Bank Digital untuk masa hadapan.
“Saya merasakan perkembangan terkini ini adalah tepat pada masanya dalam kita berusaha untuk menyesuaikan diri dengan normal baharu dan memberi alternatif terbaik kepada ‘touch points’ yang lain. Dengan kemudahan ini, kami dengan sukacitanya menyarankan kepada lebih empat (4) juta pelanggan bumiputera CIMB untuk menghubungkan (linkage) akaun CIMB mereka kepada akaun TH sedia ada bagi menikmati pelbagai kemudahan perbankan antara kedua akaun ini. Saya berharap kerjasama strategik ini akan berterusan dan memberi nilai tambah kepada para pelanggan,” tambah beliau.
Tuan Haji Mustakim Mohamad, Pengarah Eksekutif Operasi TH, berkata, “Kerjasama strategik ini akan meningkatkan akses perkhidmatan TH dari lebih 10,000 rangkaian perkhidmatan (touch points) kepada satu jumlah yang lebih tinggi kerana potensi perkhidmatan perbankan dalam talian adalah besar. Ini membolehkan pendeposit untuk melakukan urusan tanpa perlu pergi ke pejabat TH”.
“TH menyokong apa jua usaha rakan strategik kami mengaplikasi teknologi perbankan terkini untuk kemudahan semua pendeposit mengakses perkhidmatan yang ditawarkan oleh TH” ujar beliau.
Perkhidmatan perbankan dalam talian CIMB Clicks boleh dicapai menerusi laman sesawang https://www.cimbclicks.com.my.
Tamat