SHAH ALAM, Jumaat, 14 Julai 2017: Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyumbang sebanyak RM126,324.00 kepada usahawan asnaf daripada pelbagai industri dalam majlis yang diadakan di Bait Al Mawaddah (Pusat Penjagaan Warga Emas) LZS.
YBhg. Dato’ Badlisyah Abdul Ghani, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TH disertai YBhg. Tuan Haji Hussin Mohd Ali, Ketua Pegawai Eksekutif LZS hadir menyerahkan sumbangan kepada semua 15 orang usahawan asnaf yang terdiri daripada industri percetakan, perikanan, perniagaan makanan, jahitan dan cucian kereta.
Sumbangan yang diserahkan melalui Program Ikhtiar TH ini adalah bertujuan memberi bantuan suntikan modal untuk membolehkan usahawan asnaf memulakan dan/atau membesarkan perniagaan berdasarkan kemahiran yang dimiliki. Antara objektif utama program adalah untuk memberi harapan, sumber pendapatan tambahan yang membolehkan mereka meneruskan kelangsungan selain memperbaiki keadaan kehidupan sedia ada.
Selain daripada Program Ikhtiar ini, TH terus memperlihat keprihatinannya dengan penganjuran beberapa program lain seperti Program Alfiat, Program Baiti, Program Ehsan dan Program Ziarah Kasih Ramadan anjuran Yayasan TH pada sepanjang tahun sebagai sebahagian daripada Program Tanggungjawab Sosial Korporatnya. Program Ziarah Kasih Ramadan telah memanfaatkan lebih 100 ribu penerima di 76 kawasan di seluruh negara dengan keseluruhan sumbangan berjumlah RM18 juta. Program-program seumpama ini jelas memperlihatkan 2 keprihatinan TH terhadap keperluan masyarakat setempat khususnya golongan asnaf.
Majlis ini turut dihadiri oleh para pegawai LZS, anggota-anggota TH serta para penerima.
-Tamat