Shah Alam, 10 Mei 2013 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan zakat perniagaannya kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM10,907,614. 88.
Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan Selangor telah berkenan menerima zakat tersebut bagi pihak Lembaga Zakat Selangor yang telah disampaikan oleh Dato’ Paduka Ismee Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, bertempat di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, Selangor.
Pengagihan zakat TH ini adalah sebahagian daripada perolehan keuntungan pendapatan yang dicatatkan oleh TH untuk tahun kewangan 2012. Jumlah zakat untuk Negeri Selangor bagi tahun 2012 ini telah meningkat sebanyak 7.7% berbanding RM10,129,429 bagi tahun 2011.
Pembayaran zakat TH adalah berdasarkan kaedah modal kerja terlaras yang dilaksanakan mengikut pengiraan tahun kewangan semasa. Jumlah keseluruhan zakat perniagaan TH untuk tahun kewangan 2012 yang dibayar kepada negeri-negeri di Malaysia adalah sebanyak RM41.2 juta. Negeri Selangor merupakan negeri yang tertinggi menerima jumlah zakat bagi tahun kewangan berkenaan.
Turut hadir menyaksikan majlis tersebut adalah Y.A.M. Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail, Pengerusi LZS, Y.A.D. Dato' Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Ahli Lembaga Pengarah LZS dan Tuan Hj. Mohamed Izam Mohamed Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif LZS serta para pegawai TH.
- Tamat –
Tabung Haji Serah Zakat Perniagaan TH 2012 Berjumlah RM10.9Juta Kepada Lembaga Zakat Selangor