Lembaga Tabung Haji (TH) mengalu-alukan pelantikan Tuan Syed Hamadah Syed Othman sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH yang baharu sebagaimana yang telah diumumkan oleh YB Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im Bin Haji Mokhtar, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
“Saya yakin dengan kemahiran dan pengalaman luas yang dimiliki oleh Tuan Syed Hamadah akan dapat meneruskan usaha memperkukuhkan TH dari segi tadbir urus dan operasi ke tahap yang lebih cemerlang dan membanggakan di masa hadapan,” kata Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar.
Pelantikan Tuan Syed Hamadah Syed Othman yang berkuatkuasa 6 Mei 2023 adalah bagi menggantikan Dato’ Sri Amrin Awaluddin yang telah melengkapkan penggal perkhidmatan dua tahun sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pengawai Eksekutif serta Ahli Lembaga TH pada 5 Mei 2023.
Tuan Syed Hamadah Syed Othman mempunyai pengalaman luas dalam sektor korporat dan beliau merupakan pengarah serta rakan kongsi di Actuarial Partners Consulting Sdn Bhd. Beliau mempunyai pengalaman lebih daripada 25 tahun dan pakar dalam perundingan multinasional dan organisasi tempatan mengenai reka bentuk pencen, pembiayaan, perakaunan pencen, penggabungan dan pengambilalihan.
Tuan Syed Hamadah adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan dari 2018 hingga 2020, sebuah agensi yang bertanggungjawab mengurus dan melabur dana pencen kerajaan untuk faedah jangka panjang pesara kerajaan.
Tuan Syed Hamadah juga merupakan Felo di Fakulti Aktuari dan Felo di Persatuan Aktuari Malaysia. Beliau mempunyai Ijazah Kepujian dalam Matematik Aktuari dan Statistik dari Heriot Watt University, Edinburgh pada tahun 1994.
“Ahli Lembaga dan Pengurusan Kanan TH menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Dato’ Sri Amrin atas komitmen serta usaha beliau dalam mengatur strategi bagi mencapai aspirasi Hijrah24 dalam melonjakkan aktiviti pengurusan haji, operasi cawangandan pelaburan supaya TH terus kekal berdaya saing, mampan dan berwibawa selari dengan arus semasa dalam aspek pengukuhan struktur tadbir urus korporat, dan inisiatif digitalisasi, ”tambah Tan Sri Azman Mokhtar lagi.
-Tamat-