LANGKAWI, 24 Mac 2017 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan zakat berjumlah RM4,181,741.95 bagi tahun kewangan berakhir 2016 kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dalam satu majlis ringkas di Masjid Riyadzussolihin Padang Lalang, Mukim Ayer Hangat, Langkawi.
KeBawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibbudin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman telah berkenan untuk menerima pembayaran zakat ini yang dipersembahkan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Paduka Badruddin Amiruldin, Ahli Lembaga Pengarah TH. Pembayaran zakat bagi negeri Kedah ini mencatatkan peningkatan sebanyak 2.68% berbanding RM4,072,689.90 (2015).
YBhg. Tan Sri Dato’ Paduka Badruddin Amiruldin berkata sebagai sebuah institusi Islam, TH menekankan aspek kelestarian ekonomi ummah dan pembayaran zakat berperanan mempertingkatkan kebajikan masyarakat dan membantu meningkatkan kegiatan ekonomi golongan asnaf.
“TH memastikan pembayaran zakat kepada Pusat Pungutan Zakat di seluruh negara dilaksanakan sebelum suku tahun pertama berakhir agar wang tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan asnaf miskin yang layak, dan seterusnya membantu ke arah kemampanan program-program zakat yang bakal dilaksanakan oleh Pusat Pungutan Zakat Negeri-negeri. Saya menyarankan syarikat-syarikat korporat dan persendirian yang lain membayar zakat kepada Pusat Zakat Negeri-negeri agar mereka dapat melaksanakan program secara lebih terancang dan berimpak tinggi kepada golongan asnaf,” kata beliau.
Jumlah keseluruhan pembayaran zakat TH 2016 terus mencatatkan peningkatan sebanyak 1.69% (RM60.3 juta) berbanding tahun sebelumnya, RM59.3 juta (2015). Dengan kenaikan ini, TH akan meningkatkan lagi program pengagihan zakat secara terus kepada asnaf-asnaf di seluruh negara melalui Program Iqra’, Program Ehsan, Program Baiti dan Program Mobiliti. Program-program tersebut diharapkan dapat memberi manfaat secara terus kepada lebih ramai golongan sasar.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Tuan Haji Isahak bin Murad, Pegawai Daerah Langkawi; Al-Fadhil Ustaz Ridzuan Bin Ahmad, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, pegawai-pegawai LZNK dan TH.
-Tamat