SHAH ALAM, 10 Mac 2017 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan zakat berjumlah RM15,130,379.28 bagi tahun kewangan berakhir 2016 kepada Lembaga Zakat Selangor dalam satu majlis ringkas di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, Selangor.
Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan Selangor telah berkenan untuk menerima pembayaran zakat ini yang dipersembahkan oleh YBhg. Dato’ Adi Azuan Abdul Ghani, Ketua Pegawai Operasi TH. Pembayaran zakat bagi negeri Selangor ini mencatatkan peningkatan sebanyak 2.65% berbanding RM14,739,426.67 (2015).
YBhg. Dato’ Adi Azuan Abdul Ghani berkata sebagai sebuah institusi Islam, TH menekankan aspek kelestarian ekonomi ummah dan pembayaran zakat berperanan mempertingkatkan kebajikan masyarakat dan membantu meningkatkan kegiatan ekonomi golongan asnaf.
“TH memastikan pembayaran zakat kepada Pusat Pungutan Zakat di seluruh negara dilaksanakan seawal mungkin agar wang tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan asnaf yang layak, dan seterusnya membantu ke arah kemampanan programprogram zakat yang bakal dilaksanakan oleh Pusat Pungutan Zakat Negeri-negeri. Saya menyarankan syarikat-syarikat korporat dan persendirian yang lain membuat pembayaran zakat kepada Pusat Zakat Negeri-negeri agar mereka dapat melaksanakan program secara lebih terancang dan berimpak tinggi kepada golongan asnaf,” kata beliau.
Jumlah keseluruhan pembayaran zakat TH 2016 terus mencatatkan peningkatan sebanyak 1.69% (RM60.3 juta) berbanding tahun sebelumnya, RM59.3 juta (2015). Dengan kenaikan ini, TH akan meningkatkan lagi program pengagihan zakat secara terus kepada asnaf-asnaf di seluruh negara melalui Program Iqra’, Program Ehsan, Program Baiti dan 2 Program Mobiliti. Program-program tersebut diharapkan dapat memberi manfaat secara terus kepada lebih ramai golongan sasar.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Sahibus Samahah Dato’ Setia Haji Mohd Tamyes Abdul Wahid, Mufti Negeri Selangor, YAM Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Pengerusi Lembaga Zakat Selangor, YAD Dato' Setia Haji Ramli bin Mahmud, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), YBhg. Tuan Haji Hussin Mohd Ali, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, YBhg. Dr. Haji Anhar bin Haji Opir, Timbalan Mufti Negeri Selangor serta pegawai-pegawai Lembaga Zakat Selangor dan TH.
-Tamat