KUALA LUMPUR, 3 MAC 2023 – Lembaga Tabung Haji (TH) sekali lagi berganding bahu bersama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan Program Sijil Pembimbing Ibadat Haji (SPIH) ke-11 secara maya dan fizikal.
Seramai 100 peserta yang terdiri daripada Pengkursus Ibadat Haji, guru agama pengelola jemaah haji dan syarikat pelancongan tempatan telah menyertai program SPIH.
Program persijilan ini menggunakan modul dan penceramah yang disediakan oleh TH dan USIM yang merangkumi kemahiran pengajaran, komunikasi media baru, kaunseling, pengurusan risiko dan pengurusan yang berkesan serta membincangkan persoalan hukum-hakam dan peraturan-peraturan semasa yang berkaitan dengan manasik haji.
Menurut Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Pengarah Eksekutif Haji, program SPIH ini telah melahirkan ramai pembimbing ibadat haji yang berpengetahuan tinggi dalam urusan ibadat haji supaya bimbingan haji kepada bakal haji dapat disampaikan dengan jelas dan berkesan.
“TH telah menerima pengiktirafan daripada kerajaan Arab Saudi apabila merangkul Anugerah Labaittom bagi kategori Perkhidmatan Bimbingan Haji Terbaik Dunia Islam pada Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 di Jeddah, Arab Saudi baru baru ini” tambah beliau.
“Sebagai badan yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan jemaah haji negara, TH kekal konsisten memastikan setiap pembimbing ibadat haji terlatih dapat meningkatkan mutu perkhidmatan pengurusan haji bagi membimbing Jemaah Haji Negara semasa di Tanah Air dan di Tanah Suci,”kata beliau.
Program ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Sri Syed Saleh, Pengarah Eksekutif Haji TH serta turut hadir YBhg. Prof. Dato’ TS Dr. Sharifuddin, Naib Canselor USIM.
-Tamat-