KUALA LUMPUR, 14 FEBRUARI 2025 – Lembaga Tabung Haji (TH) telah memeterai perjanjian bersama syarikat penerbangan Saudia Airlines (Saudia) bagi menyediakan penerbangan sewa khas untuk membawa jemaah haji negara ke tanah suci untuk tempoh lima tahun bermula 2025 sehingga 2029.
Majlis menandatangani perjanjian di antara TH bersama syarikat penerbangan berkenaan telah diadakan pada 14 Februari 2025 bertempat di Menara TH, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Perjanjian ini telah ditandatangani oleh Ketua Jabatan Haji TH, Mohd Hisham Harun. Manakala, Saudia diwakili oleh Pengurus Besar, Pengurusan Hasil dan Jualan, Haji dan Umrah, Amer G Alghamdi.
Perjanjian berkenaan turut disaksikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman.
Syed Hamadah berkata kerjasama yang sudah terjalin sebelum ini diperkukuhkan lagi dengan pelantikan baharu untuk tempoh lima tahun akan datang bagi memastikan kelangsungan dan kelancaran operasi penerbangan jemaah haji negara.
“TH berkeyakinan syarikat Saudia dapat membantu TH dalam menyediakan perkhidmatan penerbangan terbaik demi keselesaan dan kelancaran perjalanan para jemaah haji. Atas dasar itu, kami meneruskan kerjasama untuk jangka panjang kerana syarikat ini telah menunjukkan rekod prestasi yang cemerlang pada musim-musim haji sebelum ini,”kata beliau.
Bagi musim haji 1446H/2025M, Saudia Airlines akan menyediakan sebanyak 45 penerbangan pergi dan balik dengan kapasiti penumpang sebanyak 357 orang bagi setiap pesawat untuk menerbangkan sebanyak 50 peratus daripada jumlah keseluruhan 31,600 bakal haji secara berperingkat.
Kesemua penerbangan sewa khas ini akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah dan Lapangan Terbang Antarbangsa Prince Mohammad Abdulaziz di Madinah. Penerbangan pertama dijadualkan pada 29 April 2025.
“TH dan syarikat penerbangan Saudia akan memastikan jadual penerbangan disusun secara sistematik serta komited untuk terus menyampaikan perkhidmatan mesra secara konsisten bagi memberikan pengalaman perjalanan haji yang terbaik kepada para dhuyufurrahman daripada langkah mula di tanah air ke tanah suci sehingga pulang semula ke tanah air,” tambah Syed Hamadah lagi.
-TAMAT-