KUALA LUMPUR, 7 FEBRUARI 2025 – Lembaga Tabung Haji (TH) menyarankan bakal haji rakyat Malaysia yang memperolehi Visa Furada atau Visa Mujamalah menggunakan perkhidmatan Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang telah dilesenkan oleh TH.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata sebanyak 37 syarikat PJH yang dilesenkan oleh TH memiliki Lesen Pengendali Pelancongan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), mempunyai kewangan yang teguh, kepakaran dan pengalaman yang mencukupi serta komited memberikan perkhidmatan terbaik untuk menjaga kebajikan jemaah haji Malaysia.
TH sentiasa memantau semua PJH bermula daripada peringkat perancangan sehingga pelaksanaan untuk memastikan semua jemaah haji mendapat perkhidmatan terbaik dan mengelakkan sebarang penipuan.
Syed Hamadah turut menyatakan pemberian visa Furada dan Mujamalah yang dikeluarkan kepada kumpulan tertentu adalah hak mutlak Kerajaan Arab Saudi dan ianya di luar kuota haji rasmi negara. Kerajaan Arab Saudi giat memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kecekapan prosedur musim haji bagi kelancaran proses ibadat dan keselamatan para jemaah haji yang datang dari seluruh dunia.
“Kerajaan Arab Saudi juga akan melaksanakan kawalan keselamatan yang lebih ketat semasa kemuncak haji dengan sistem pengesahan jemaah haji yang lebih efisyen bagi memeriksa setiap jemaah yang masuk ke kawasan Masyair. Sebarang penggunaan visa tidak sah, akan dikenakan tindakan undang-undang dan denda yang berat,” katanya lagi.
Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siatan Jenayah Komersial (JSJK) semalam melaporkan terdapat 44 kes penipuan haji dan umrah yang telah disiasat sepanjang 2024 melibatkan nilai kerugian RM890,810.53 dan mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga agar tidak terpedaya dengan sindiket penipuan yang ingin mengaut keuntungan.
“TH menyokong penuh saranan Polis DiRaja Malaysia agar berwaspada dengan penipuan haji. Setiap kali tibanya musim haji, akan muncul segelintir pihak yang cuba membuat pelbagai tawaran visa dan pakej haji di luar kuota haji negara,” tambah beliau.
Mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa lesen daripada TH merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).
-TAMAT-