Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim,
Pengerusi, TH;
Yang Berbahagia Datuk Seri Johan Abdullah,
Pengarah Urusan Kumpulan Dan Ketua Pegawai Eksekutif, TH;
Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk,
Ahli-ahli Lembaga Pengarah dan Panel Pelaburan TH;
Barisan Pengurusan Kanan TH, Wakil-wakil Media Massa, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan terima kasih kerana sudi hadir membuat liputan pada hari ini.
Saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana kita dapat sama-sama berkumpul di sini untuk Pengumuman Hibah kepada Pendeposit bagi Tahun Kewangan TH 2016.
KONSEP AL-WADI’AH YAD DHAMANAH
Pada tahun ini saya mengambil pendekatan baharu dengan menggunakan terminologi ‘Hibah’ berbanding ‘Bonus’ yang biasa digunakan. Sejak kebelakangan ini saya dapati, rata-rata tanggapan masyarakat mengambil pendekatan bahawa ‘hibah’ ini wajib dibayar dan mengharapkan pulangan yang tinggi daripada TH setiap tahun.
Kita perlu ingat bahawa tujuan utama kita menyimpan di TH adalah untuk mengerjakan Haji dan oleh kerana itulah, Kerajaan menjamin 100% simpanan pendeposit di TH.
Simpanan di TH adalah berlandaskan konsep Al-Wadi’ah Yad Dhamanah, di mana hibah atau hadiah adalah berdasarkan prestasi kewangan tahun semasa dan mengikut budi bicara TH.
Walaupun hibah tidak dijanjikan, namun Alhamdulillah, TH tidak pernah gagal memberi hibah kepada pendeposit setiap tahun. Apa yang paling penting adalah TH mampu meneruskan tanggungan sebahagian besar kos haji bagi meringankan beban kewangan Jemaah. TH juga memastikan kelancaran operasi haji setiap tahun, seperti perkhidmatan kesihatan, hospital, penjagaan warga emas dan badal haji, demi keselesaan Jemaah Haji Malaysia.
PRESTASI KEWANGAN 2016
Seperti sedia maklum, pasaran kewangan global termasuk Malaysia telah melalui tempoh yang mencabar di sepanjang tahun 2016. Ini adalah ekoran kadar pertumbuhan ekonomi yang perlahan, ketidakseimbangan polisi di kalangan ekonomi-ekonomi utama dunia, ketidaktentuan geopolitik khususnya di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, kenaikan kadar faedah oleh Federal Reserve AS, pengukuhan dolar AS dan aliran dana keluar daripada pasaran membangun.
Oleh itu, kadar pertumbuhan pendapatan syarikat-syarikat korporat Malaysia telah menerima kesan ekoran keadaan ekonomi global ini, penguncupan nilai Ringgit, kenaikan kos bahan mentah dan operasi, persaingan yang sengit dan permintaan yang lebih perlahan. FTSE Bursa Malaysia Indek Komposit (FBMKLCI) telah menyusut sebanyak 3% pada tahun lalu, manakala purata dividen daripada syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Malaysia hanyalah sekitar 3%. Pulangan daripada pasaran bon juga berada dalam trend menurun ekoran penurunan Kadar Polisi Semalaman oleh Bank Negara Malaysia. Senario pulangan pelaburan yang menurun ini dijangka berterusan pada tahun 2017.