KUALA LUMPUR, 19 Januari 2018 – Lembaga Tabung Haji (TH) ingin menasihati para pendeposit agar membuat pengemaskinian profil peribadi mereka sekiranya terdapat sebarang perubahan terkini.
Para pendeposit disaran untuk mengemaskini alamat, nombor telefon dan melakukan penamaan waris di mana-mana Pejabat Cawangan TH, Pusat Perkhidmatan TH dan UTC. Pengemaskinian juga boleh dilakukan di kaunterkaunter Rakan Strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat dan Maybank Islamik di seluruh negara.
Pengemaskinian profil peribadi ini bertujuan untuk memudahkan TH menghubungi para pendeposit serta mengelakkan kes surat tawaran haji tidak diterima kerana bertukar alamat.
Datuk Seri Johan Abdullah, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH berkata, setakat ini jumlah pendeposit TH ialah seramai 9.3 juta orang dan berdasarkan kepada rekod, hanya 2.9 juta orang pendeposit telah membuat pengemaskinian profil peribadi.
Saya berharap agar kesemua pendeposit TH mengambil perhatian dan tindakan susulan bagi memastikan kelancaran bagi penyaluran sebarang makluman penting oleh pihak TH kepada pendeposit, tambahnya lagi.
Untuk sebarang pertanyaan berkaitan perkhidmatan TH, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji (THCC) kami di 03-6207 1919. Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Lembaga Tabung Haji
-TAMAT-