KUALA LUMPUR, 20 Disember 2021 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengalu-alukan pelantikan Tan Sri Azman Hj. Mokhtar sebagai Pengerusi TH yang baharu berkuatkuasa pada 20 Disember 2021.
Dato’ Sri Amrin Awaluddin, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH berkata, “TH mengalu-alukan pelantikan ini dan bersyukur kerana menerima tokoh yang disegani dan berpengalaman khususnya dalam aspek pelaburan dan transformasi GLC semasa beliau menerajui Khazanah Nasional Berhad dari tahun 2004 hingga 2018. Di kala negara masih lagi berdepan dengan cabaran pandemik, kami yakin dengan pengalaman, dedikasi dan kepimpinan beliau, TH akan terus dipacu untuk kecemerlangan masa hadapan.”
Dalam usaha untuk terus mengukuhkan dan memastikan kemampanan TH, pelbagai aspek transformasi sedang dan bakal dilaksanakan dengan pemfokusan kepada aspek pentadbiran dana simpanan haji dan penambahbaikan pengurusan haji. Ini penting bagi TH untuk terus kekal relevan sebagai satu-satunya pengurus haji negara untuk tahun-tahun mendatang.
Pelantikan Tan Sri Azman juga diharap menjadikan TH sebagai institusi Islam yang dihormati atas pencapaian dan tadbir urus yang baik seiring dengan mandat penubuhannya untuk memudahkan umat Islam menyimpan untuk tujuan mengerjakan Haji.
Antara perlantikan beliau yang terkini termasuk sebagai Pengerusi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Pengerusi International Centre of Education in Islamic Finance (INCEIF) dan ahli Majlis Pemulihan Negara. Selain daripada Khazanah, beliau pernah menjadi antara pemangkin utama beberapa organisasi korporat negara seperti Axiata Group Berhad, Iskandar Investment Berhad dan IHH Healthcare Berhad.
Beliau juga merupakan pemegang Master of Philosophy in Development Studies dari Darwin College, Cambridge University dan Diploma di dalam bidang Pengajian Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Selain itu juga, beliau adalah akauntan bertauliah Fellow of the Association of Chartered and Certified Accountants (ACCA) dan Chartered Financial Analyst (CFA). Tan Sri Azman berpengalaman luas dalam bidang kewangan, perniagaan dan ekonomi selain berkredibiliti tinggi khususnya dalam komuniti perniagaan di Malaysia dan di peringkat global.
TH akan meneruskan komitmennya bagi memastikan aspek kemampanan dan kelestariannya dengan menyediakan Pelan Strategik untuk menyokong usaha transformasi TH yang akan memacu organisasi ke hadapan. Pelan Hijrah24 akan didorong oleh lima (5) teras utama dan disokong oleh 24 inisiatif strategik yang akan bermula pada bulan hadapan.
Pada masa yang sama, TH akan terus memberi kerjasama berhubung siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang dijalankan. Ini sekaligus dapat mengukuhkan aspek tadbir urus dan kawalan untuk melindungi TH dan pendepositnya, selain menguatkan operasi dan kecekapan, serta memberi keuntungan dan pulangan yang mampan kepada pendeposit. Kesemua inisiatif ini akan memastikan TH kekal lestari hingga ke masa hadapan.
TH turut berterima kasih kepada Tan Sri Md Nor Yusof sepanjang tempoh kepimpinannya menerajui TH. Sejak dilantik sebagai Pengerusi pada 10 Julai 2018, beliau juga berjaya memastikan kedudukan kewangan TH lebih kukuh dengan mencatat jumlah deposit sehingga 30 Jun 2021 sebanyak RM 81.41 billion, rekod tertinggi sejak TH ditubuhkan 58 tahun lalu.
-Tamat-