KUALA LUMPUR, 6 Disember 2021: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini melancarkan aplikasi e-TAIB bersempena Majlis Perasmian Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-38 bertempat di Menara TH Tun Razak. YB Senator Tuan Haji Idris bin Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hadir melancarkan inisiatif digitalisasi terbaharu TH ini.
e-TAIB merupakan aplikasi terkini yang dibangunkan oleh TH untuk memudahkan urusan jemaah haji bersoal-jawab mengenai hukum-hakam dan perjalanan ibadat haji semasa di Tanah Suci melalui perbualan langsung (live chat) bersama guru-guru agama.
TH juga akan membangunkan sistem Hajj e-Learning dengan peruntukan hampir RM3 juta mulai bulan Disember ini. Inisiatif digitalisasi ini adalah usaha berterusan TH memperkasakan cara penyampaian bimbingan ibadat haji seperti terkandung dalam Kerangka Kerja Haji atau Hajj Blueprint 2021 – 2025.
“Dalam situasi pandemik, cara pembelajaran secara dalam talian bukan sahaja seiring dengan keperluan zaman teknologi, malah telah menjadi sebahagian daripada norma baharu kehidupan hari ini. Jika dilihat pada musim Haji tahun 2019 dan 2020, Kerajaan Arab Saudi juga sudah memulakan proses urusan haji mereka secara dalam talian bermula daripada permohonan haji sehingga lah pemilihan dan saluran makluman terkini kepada bakal haji terpilih. Saya percaya bahawa sudah tiba masanya bakal-bakal haji Malaysia melengkapkan diri mereka dengan kemahiran teknologi dan terbuka dengan cara-cara baharu untuk menunaikan haji,” kata YB Senator semasa merasmikan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-38 bagi Musim Haji 1443H.
Muzakarah Haji yang berlangsung selama tiga hari bermula dari 6 sehingga 8 Disember 2021 ini memberi peluang kepada lebih daripada 500 para Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) dan ilmuan agama berkongsi ilmu dan pengalaman dalam menetapkan keseragaman hukum-hakam dan mencari penyelesaian terbaik berkaitan ibadat haji, umrah dan ziarah demi kepentingan umat Islam di negara ini semasa melaksanakan ibadat di Tanah Suci.
“Ini adalah merupakan tahun kedua bagi TH menganjurkan Muzakarah Haji secara dalam talian dan hibrid. Insya-Allah kita harap akan ada lebih ramai penyertaan pada tahun ini sejajar dengan usaha dan sokongan Kerajaan yang sentiasa mengambil berat urusan haji dan hal kebajikan jemaah haji. Persediaan bakal-bakal haji sebelum melangkah ke Tanah Suci adalah penting terutama aspek persediaan ilmu, kerohanian dan kesihatan,” kata YB Menteri.
Bertemakan “Meningkatkan Kefahaman Ilmu Haji dalam Norma Baharu”, sebanyak lima kertas kerja dibentang dan dibincangkan sepanjang muzakarah ini oleh Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji yang mempunyai pengetahuan luas dalam melaksanakan ibadat haji.
Muzakarah Haji kali ini turut dihadiri YBhg. Dato’ Sri Amrin Awaluddin, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH; YBhg Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Pengarah Eksekutif Haji TH merangkap Ketua Rombongan Haji Malaysia; serta Ahli-Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji TH-JAKIM.
-Tamat-
SIARAN AKHBAR TH -TH LANCAR E-TAIB MUDAHKAN JEMAAH HAJI (FINAL).pdf