KUALA LUMPUR, 2 DISEMBER 2024: Lembaga Tabung Haji (TH) telah melancarkan Program Bijak Bestari Kampung Bharu bagi meningkatkan prestasi akademik pelajar dan juga sebagai menyokong usaha Kerajaan melalui inisiatif Kampung Angkat Madani.
Program Bijak Bestari melibatkan kira-kira 100 orang pelajar sekolah rendah dan menengah daripada kalangan asnaf dan turut bertujuan membantu pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan bagi menangani masalah keciciran pelajaran.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Haji Mokhtar, telah melancarkan program secara rasmi hari ini. Turut hadir semasa majlis perasmian ialah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Syed Hamadah Syed Othman serta barisan pengurusan tertinggi TH.
YB Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im berkata Program Kampung Angkat MADANI dan Santuni MADANI adalah inisiatif prihatin daripada Kerajaan untuk memperkasakan komuniti luar bandar dan merapatkan jurang sosioekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar.
“Terima kasih dan tahniah kepada TH kerana menyahut usaha Kerajaan MADANI dalam menzahirkan keprihatinan terhadap keperluan komuniti luar bandar, khususnya dalam aspek pembangunan pendidikan melalui Program Bijak Bestari Kampung Bharu ini,” jelas beliau.
Beliau turut berkata program yang berlangsung dari 5 Oktober hingga 14 Disember 2024 ini merangkumi aktiviti seperti kelas tuisyen, kem motivasi, bengkel dan seminar pembelajaran bagi memupuk minat pelajar untuk terus hadir ke sekolah.
“Pihak Kerajaan berharap usaha ini dapat memperkasakan lagi tahap pendidikan di semua peringkat masyarakat serta memberi sokongan khusus kepada pelajar, terutamanya daripada keluarga asnaf untuk meningkatkan prestasi akademik mereka melalui program-program tambahan seperti kelaskelas tuisyen dan kem pembangunan kendiri,” tambah beliau lagi.
Sementara itu, Syed Hamadah berkata program yang mendapat kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) ini akan memfokuskan kepada pelbagai topik menarik seperti Sains, Keusahawanan, Teknologi Robotik, teknik menjawab peperiksaan SPM, prospek TVET/IPTA/IPTS, perancangan kerjaya dan perkongsian ilmu daripada tokoh-tokoh bidang.
“Selain penganjuran seminar dan kelas-kelas tuisyen untuk pembangunan akademik, para pelajar ini juga akan menyertai kem dan bengkel-bengkel luar yang memberi fokus kepada penerapan nilai-nilai murni, selain pembangunan dan disiplin diri,” jelas beliau.
TH sebagai organisasi Islam yang prihatin juga telah menyertai Program Kampung Angkat Madani dan Santuni Madani di mana TH telah menyumbang sebuah van jenazah bagi kegunaan qariah Mukim Telekung di Kuala Krai, Kelantan sebelum ini.
Selain itu, Kampung Dato’ Sri Amar Diraja, Muar, Johor telah dipilih sebagai Kampung Angkat Madani TH di bawah Program Satu Pemimpin Satu Kampung, di mana TH telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM40,000 kepada Pusat Jagaan Bakti Murni dan Surau Al-Raudah bagi menampung kos pengurusan serta penambahbaikan kemudahan di samping melaksanakan aktiviti gotong-royong di kawasan berkenaan bagi keselesaan penduduk setempat.
-TAMAT-