Kuala Terengganu, Isnin, 28 November 2016: Lembaga Tabung Haji (TH) mengadakan Majlis Penutup Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-33 hari ini, bertempat di TH Hotel & Pusat Konvensyen Kuala Terengganu. Majlis penutupan ini disempurnakan oleh YB. Dato’ Seri Jamil Khir Haji Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Muzakarah Haji yang berlangsung selama tiga hari bermula dari 26 sehingga 28 November 2016 ini, memberi peluang kepada lebih daripada 500 para ilmuan agama dan pembimbing ibadah haji berkongsi ilmu serta menetapkan keseragaman hukum-hakam dan mencari penyelesaian terbaik berkaitan ibadat haji, umrah dan ziarah demi kepentingan jemaah haji Malaysia.
Para pembimbing merupakan tempat rujukan utama para jemaah haji mengenai permasalahan berkaitan ibadat berkenaan. Justeru itu, mereka disarankan untuk memberikan penjelasan dengan tepat terhadap hukumhakam berkaitan ibadat haji, umrah dan ziarah berlandaskan resolusi yang dimuktamadkan dalam muzakarah ini.
Sebanyak lima (5) kertas kerja telah dibentang dan dibincangkan serta satu (1) sesi perkongsian oleh delegasi dari Negara Kemboja diadakan pada muzakarah kali ini.
YB. Dato’ Seri Jamil Khir Haji Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kos untuk muasassah musim Haji 1438H meningkat kepada RM19,550.00 seorang. Namun begitu, bayaran haji tetap pada RM9,980.00. Maka subsidi haji akan meningkat kepada RM9,570.00 untuk seorang jemaah. Ini menjadikan jumlah subsidi yang bakal ditanggung oleh TH adalah lebih RM200 juta pada tahun hadapan.
Jumlah subsidi yang bakal ditanggung oleh TH ini tidak termasuk perkhidmatanperkhidmatan tidak langsung yang diberikan kepada semua jemaah haji negara secara percuma seperti penganjuran kursus-kursus bimbingan haji, buku-buku dan risalah panduan haji, kos para petugas haji, perkhidmatan perubatan, prasarana stesen berlepas dan pelbagai lagi perkhidmatan tambah nilai untuk keselesaan jemaah. Kos-kos ini ditanggung secara terus menerus oleh TH.
Muzakarah Haji kali ini turut dihadiri oleh YB. Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengerusi TH; YBhg. Dato’ Johan Abdullah, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH; YBhg Dato’ Syed Saleh Syed Abd. Rahman, Ketua Rombongan Haji Malaysia; Ahli-Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji, wakil-wakil agensi dan jabatan kerajaan serta pegawai-pegawai TH.
- Tamat –