KUCHING, 24 Oktober 2021 - Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan sebuah van bagi kegunaan harian Pusat Jagaan Nur Murni, Batu Kawa Sarawak.
YB Senator Tuan Haji Idris Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah menyerahkan replika kunci van tersebut kepada Puan Noni @ Noraini Bakiri, Pengerusi, Pusat Jagaan Nur Murni sempena lawatan kerja beliau ke Sarawak buat julung julung kali.
Dalam ucapannya, YB Senator Tuan Haji Idris Ahmad berkata beliau amat bersyukur dengan program-program zakat TH yang amat bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia yang menekankan pemeliharaan kesejahteraan negara dan rakyat, mencakupi nilai murni dalam institusi kekeluargaan seperti kasih sayang, toleransi, empati serta pengorbanan, lebih-lebih lagi dalam situasi sukar di mana negara masih bergelut dengan impak penularan pandemik COVID-19.
Melalui Program Mobiliti 2021, TH akan menyumbang 25 buah van penumpang ke rumah-rumah kebajikan terpilih di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta. TH turut memperuntukan RM18.7 juta bagi melaksanakan program lain seperti Program Ehsan, Ikhtiar dan A’fiat.
Program Mobiliti TH telah dilancarkan pada tahun 2016 yang bertujuan menyumbang van dwi-fungsi yang boleh digunakan oleh masyarakat setempat sebagai van penumpang atau van jenazah. Sejak diperkenalkan, TH telah menyumbang lebih 56 buah kenderaan pelbagai fungsi kepada masjid-masjid terpilih di seluruh negara yang telah memberi manfaat lebih daripada 200 ribu kariah.
Pada tahun ini, TH memperluaskan penerima sumbangan ini ke rumah dan persatuan kebajikan di seluruh negara seperti rumah anak yatim, rumah orang tua dan rumah untuk Orang Kurang Upaya (OKU) bagi membantu memudahkan mereka bergerak untuk menjalankan aktiviti dan program mereka.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Datin Nurlaila Said, Pengarah TH Wilayah Sabah & Sarawak, Ahli Jawatankuasa Pusat Jagaan Nur Murni dan anggota-anggota TH.
-Tamat-
24102021_SIARAN AKHBAR - TH SUMBANG SEBUAH VAN BAGI KEGUNAAN PUSAT JAGAAN NUR MURNI (FINAL).pdf