KUALA LUMPUR, 5 Oktober 2020 - Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini melancarkan aplikasi telefon pintar THiJARI dalam usaha memudahkan capaian para pendeposit TH kepada sistem perkhidmatan dalam talian THiJARI, selari dengan kehendak dan kepesatan teknologi semasa.
Aplikasi THiJARI ini boleh dimuat turun terus daripada Google Play atau App Store dengan percuma ke telefon bimbit atau tablet. Melalui aplikasi THijARI, para pendeposit TH boleh melakukan transaksi dalam talian seperti urusan pertanyaan baki, cetak penyata, pemindahan wang, semak status haji dan pendaftaran haji.
“Pelancaran aplikasi THiJARI ini adalah seiring dengan kecenderungan penggunaan teknologi pada era moden hari ini. Sejak pelancaran portal THiJARI pada 5 Februari 2020 yang lalu, jumlah penggunanya terus meningkat di mana sehingga akhir Ogos 2020, lebih 260 ribu pendeposit TH telah pun menjadi pengguna THiJARI,” kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, YBhg. Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, pada majlis pelancaran aplikasi tersebut.
Tambah beliau, transaksi TH akan dapat dilakukan dengan lebih mudah dan cepat melalui aplikasi THiJARI kerana ia kini sudah berada di hujung jari. Capaiannya juga lebih selamat dan ringkas dengan hanya menggunakan cap jari (thumb print) atau imbasan wajah (Face ID).
Penggunaan saluran dalam talian terbukti mendapat sambutan baik oleh para pendeposit TH apabila rekod menunjukkan 78 peratus transaksi TH telah dilakukan dalam talian meliputi portal THiJARI, ATM dan CDM serta perbankan intenet bank-bank rakan strategik TH seperti Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB Islamik di mana hanya 22 peratus transaksi di lakukan di kaunter.
Dengan pelancaran aplikasi THiJARI ini, TH berharap pendeposit akan dapat melaksanakan transaksi TH dengan lebih mudah di mana-mana sahaja seperti di rumah, pejabat sama ada di dalam atau di luar negara.
THiJARI di jari anda adalah mudah, bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.
-Tamat-