KOTA BELUD, 26 September 2022 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyumbang sebuah van serbaguna kepada Pondok Fii Dzilalil Qu’ran, Kota Belud, Sabah di satu Majlis Serahan Van Program Mobiliti TH di sini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Hj Idris Bin Haji Ahmad berkata, sumbangan van serbaguna Program Mobiliti TH bertujuan untuk memenuhi tuntutan fardhu kifayah dan juga fardhu ain terutama ahli kariah di masjid-masjid yang memerlukan di luar bandar.
“Saya berharap pengurusan Pondok Fii Dzilallil Qu’ran dapat mengambil manfaat daripada sumbangan ini dan memastikan ia digunakan bagi menjalankan aktiviti-aktiviti pelajar setiap hari. Semoga sumbangan ini dapat sedikit sebanyak memudahkan urusan pelajar-pelajar tahfiz di Pondok Fii Dzilalil Qu’ran,”katanya lagi.
Program Mobiliti TH bermula pada tahun 2016 dengan menyumbang kenderaan van dwi-fungsi ke masjid-masjid dan surau yang boleh digunakan untuk pengurusan jenazah dan juga sebagai van penumpang. Pada tahun 2021, program ini telah diperluaskan ke pusat tahfiz, badan dan rumah kebajikan terpilih di Sabah dan Sarawak juga.
Pada tahun ini, TH memperuntukkan sebanyak RM5.4 juta untuk Program Mobiliti dengan 40 unit van dwifungsi yang akan disumbangkan ke institusi terpilih seperti masjid, surau, rumah-rumah kebajikan dan persatuan berdaftar di seluruh negara. TH telah menyumbang sebanyak 96 unit van serbaguna dan memberi manfaat kepada lebih daripada 300,000 ahli kariah di seluruh negara sejak diperkenalkan enam tahun lalu.
Pada tahun ini (tahun kewangan berakhir 2021), TH telah membayar zakat sebanyak RM101 juta kepada Majlis Agama Islam Negeri dan Pusat Zakat Negeri di seluruh negara.
Selain pembayaran zakat, TH turut melaksanakan Program zakat TH yang memberi sumbangan secara terus kepada asnaf-asnaf terpilih antaranya melalui penganjuran program berbentuk pendidikan, kemasyarakatan, dan kesihatan serta keusahawanan.
-Tamat-