KUALA LUMPUR, 12 Ogos 2018: Lembaga Tabung Haji (TH) ingin menjelaskan bahawa pada tahun ini, TH tidak lagi dibenarkan untuk menguruskan jemaah haji Malaysia yang menggunakan visa Furada (persendirian) disebabkan peraturan yang telah dikuatkuasakan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi. Peraturan ini juga turut dilaksanakan kepada semua negara-negara yang diberikan visa haji Furada.
Selain daripada pengeluaran kuota rasmi sebanyak 30,200 yang diberikan kepada Malaysia, pihak kedutaan Arab Saudi juga turut mengeluarkan visa Furada kepada rakyat Malaysia secara individu di atas budi bicaranya. Pada lazimnya pemberian visa Furada ini dikeluarkan pada peringkat akhir fasa penerbangan jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci.
Pada tahun-tahun sebelum ini, bakal jemaah haji yang menerima visa Furada bebas untuk memilih syarikat pelancongan bagi urusan haji di Tanah Suci, namun terdapat juga bakal haji visa Furada yang memohon untuk mengerjakan haji dengan TH.
Walaupun permohonan tersebut dibuat pada peringkat akhir, TH tetap berusaha untuk membantu seramai mungkin bakal jemaah haji visa Furada tertakluk kepada kekosongan penerbangan dan bilik penginapan di Tanah Suci serta kesediaan pihak Muassasah Asia Tenggara untuk menyediakan khemah di Arafah dan Mina.
Pada tahun ini, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi telah menetapkan untuk menempatkan jemaah-jemaah haji yang menggunakan visa Furada dari pelbagai negara di satu penempatan khemah khas yang berasingan daripada penempatan negara asal jemaah tersebut. Inisiatif ini diambil oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi menguruskan jemaah haji visa Furada dengan lebih tersusun.
Oleh yang demikian, pihak TH akur dan menghormati peraturan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi demi menjamin keselamatan dan keselesaan para jemaah haji sedia ada serta jemaah visa Furada yang datang dari seluruh dunia.
Pihak TH ingin juga memaklumkan bahawa, bagi mematuhi pelan pengurusan risiko yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi, TH dikehendaki untuk menyediakan sejumlah katil tambahan (kosong) di kesemua 18 bangunan penginapan jemaah haji Malaysia sebagai langkah persediaan sekiranya berlaku kecemasan atau perkara yang tidak diingini semasa di Tanah Suci.
TH juga ingin menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana tawaran visa Furada dan pakej haji dari individu atau agensi pelancongan yang tidak dilesenkan oleh TH kerana TH hanya mengawal selia agensi yang berdaftar di bawahnya. Orang ramai perlu berhatihati bagi mengelak kes penipuan yang sering berlaku semasa musim haji.
Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan
Lembaga Tabung Haji
-Tamat-