PETALING JAYA, Isnin, 13 Ogos 2012: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengadakan majlis berbuka puasa sempena sumbangan Aidilfitri kepada 500 orang golongan asnaf di TaHa D’ Kelana, Kelana Jaya.
Tahun ini TH mensasarkan agihan zakat sejumlah RM1.3 juta kepada lebih daripada 2,600 orang golongan asnaf di seluruh negara sempena bulan Ramadan. Penerima sumbangan pada hari ini yang terdiri daripada golongan asnaf yang kurang upaya, warga emas dan ibu tunggal yang dijemput khas dari sembilan daerah di Selangor, selain diraikan dalam majlis berbuka puasa turut menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM500 seorang.
Majlis ini adalah anjuran terbesar bagi tahun 1433H dan merupakan antara siri program Ihya Ramadan yang dianjurkan oleh TH di seluruh negara. Terdahulu, TH telah menganjurkan majlis pengagihan sumbangan zakat kepada golongan asnaf di Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perlis, Perak, Kelantan dan Sabah. Pada awal tahun
ini juga, TH telah membayar sejumlah RM10 juta zakat kepada pusat zakat Selangor.
Majlis telah disempurnakan oleh Dato’ Paduka Ismee Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, yang kemudiannya menyampaikan sumbangan kepada para penerima.
“Sebagai sebuah institusi Islam, Tabung Haji sentiasa beriltizam untuk menggalas tanggungjawabnya dengan baik terutamanya dalam soal pembayaran zakat ke setiap negeri di seluruh Malaysia. Program-program tanggungjawab sosial korporat yang dilaksanakan oleh Tabung Haji juga jelas memperlihatkan sifat prihatin dan tanggungjawab terhadap keperluan masyarakat Islam setempat khususnya golongan asnaf,” kata Dato’ Paduka Ismee Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji.
Selain program Ramadan, TH juga turut melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat yang lain untuk manfaat dan kesejahteraan komuniti Islam setempat khususnya golongan asnaf seperti program pembinaan rumah, kesihatan serta pendidikan di setiap negeri di seluruh Malaysia.
Majlis turut dihadiri oleh Tan Sri Dato’ Hashim Meon, Ahli Lembaga Pengarah TH, barisan pengurusan TH Negeri dan keluarga penerima.
-Tamat-