KUALA LUMPUR, Isnin, 10 Julai 2017: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini melancarkan aplikasi terkininya, THiJARI 2.0 semasa Majlis Lebaran Aidilfitri bersama Anggota-anggota di Bangunan TH, Jalan Tun Razak.
Menyedari jumlah pengguna telefon pintar di Malaysia yang dijangka mencecah sehingga 17.8 juta pada penghujung tahun 2017 (mengikut kajian laman web Statista), TH terus mengorak langkah dengan menambahbaik aplikasi THiJARInya yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 2014, dalam usaha mempelbagaikan perkhidmatan interaktif atas talian tanpa sempadan, pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.
Selain itu, kandungan aplikasi ini mempunyai pelbagai kemudahan termasuk ciriciri baru tentang haji di mana kemudahan baharu yang dibangunkan bagi manfaat kepada para Jemaah.
Penerbangan pertama ke Tanah Suci tahun ini dijadualkan pada 24 Julai 2017. Sehubungan dengan itu, bakal-bakal jemaah haji boleh membuat semakan jadual penerbangan melalui aplikasi tersebut.
Aplikasi THiJARI 2.0 ini juga membolehkan para pendeposit menyemak status pendaftaran dan tawaran haji. Di samping itu, pengguna dapat mengemaskini urusan akaun pendeposit, pendaftaran dan semakan keahlian Kelab Taha, informasi TH, direktori, berita terkini, promosi dan e-Majalah.
Dengan pelancaran THiJARI 2.0, aplikasi ini turut menawarkan perkhidmatan baru, MyQ TH. Para pelanggan dan pendeposit boleh mendapatkan nombor giliran secara atas talian dan memilih cawangan TH berdekatan bagi membuat urusan di kaunter tanpa perlu membazir masa menunggu tempoh yang lama.
Aplikasi THiJARI 2.0 kini boleh dimuat turun melalui Google Play and App Store secara percuma. Untuk masa terhad ini juga, pendeposit yang memuat turun aplikasi ini dapat menikmati diskaun dan tawaran menarik menerusi portal beli belah Haqqi (http://haqqi.com.my/). Para pendeposit yang mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan perkhidmatan TH, mereka boleh berhubung terus dengan TH Contact Centre (THCC) di talian 03 - 6207 1919 atau emel kepada th-info@lth.gov.my.
-Tamat