SEPANG, 20 JUN 2022: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan mencemar duli berangkat hadir untuk mengucapkan selamat jalan kepada 291 orang bakal Jemaah Haji Malaysia di Kompleks Haji Sepang (Movenpick) hari ini.
Kumpulan ini terdiri daripada 135 orang jemaah lelaki, 156 orang jemaah perempuan yang dijadualkan berlepas menerusi penerbangan Saudia Airlines (SV 5633) ke Jeddah pada pukul 4.45 petang dan dijangka tiba pada pukul 8.10 malam (waktu Arab Saudi).
KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dalam titah ucapan baginda mengucapkan tahniah dan menyeru semua bakal haji agar bersyukur kerana terpilih sebagai tetamu Allah SWT setelah dua tahun jemaah haji negara tidak dapat pergi menunaikan ibadat haji akibat wabak COVID-19.
Baginda juga menasihati para jemaah haji untuk terus menjaga kesihatan, kebersihan diri dan memastikan semua peraturan pihak berkuasa serta prosedur operasi standard sentiasa dipatuhi selain memberi sepenuh tumpuan dalam pelaksanaan ibadat haji.
KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong turut mengingatkan jemaah haji untuk menguatkan ketahanan mental dan fizikal, saling bertoleransi dan bersabar semasa berada di tanah suci.
Pada musim haji kali ini, seramai satu juta umat Islam dari pelbagai negara akan berkumpul di tanah suci.
Perhimpunan besar ini pastinya mencabar, sekaligus mengajar umat Islam untuk bersabar, bertoleransi dan tolong menolong tanpa mengira warna kulit, bahasa, adat resam dan budaya.
Mengambil iktibar dari pelaksanaan haji, KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berharap agar umat Islam di Malaysia terus bersatu hati tanpa melihat kepada sebarang perbezaan yang boleh memecah-belahkan kesatuan ummah dan keharmonian masyarakat berbilang bangsa di negara kita.
KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong juga meminta Jemaah Haji Malaysia untuk sentiasa menjaga akhlak dan jauhi segala anasir tidak sihat yang boleh menjejaskan imej serta nama baik negara. KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong kemudiannya bersalaman dan mengucapkan selamat jalan kepada bakal jemaah haji.
Penerbangan bagi Musim Haji 1443H ini merangkumi 48 penerbangan yang bermula pada Khamis, 4 Jun 2022 dan penerbangan akhir dijadualkan pada Ahad, 2 Julai 2022.
Majlis ini turut dihadiri oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri,YB Senator Datuk Haji Idris Haji Ahmad, Pengerusi TH, Tan Sri Azman Hj Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato’ Sri Amrin Awaluddin, Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, TYT Dato’ Dr. Mahmoud Hussien Saeed Qattan, Mufti Wilayah Persekutuan, S.S Datuk Dr. Luqman Haji Abdullah, Anggota Lembaga dan Pengurusan Kanan TH serta wakil-wakil Kementerian dan Agensi-Agensi Kerajaan.
-Tamat-