KUALA LUMPUR, 31 Mei 2021 – Sejajar dengan pengumuman Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi melaksanakan Perintah Penutupan Penuh (Total Lockdown), Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini memaklumkan kesemua operasi kaunter perkhidmatannya di seluruh negara ditutup sementara bermula 1 Jun ini sehingga diberitahu kemudian melainkan urusan janji temu bagi perkara kritikal sahaja.
Antara urusan kritikal ini adalah seperti pindahan simpanan dan pindahan telegrafik melebihi had harian di saluran dalam talian, pembatalan haji dan tuntutan pusaka & hibah amanah yang mendesak. Sepanjang tempoh ini, para pendeposit dan orang ramai yang ingin membuat urusan kritikal tersebut di cawangan perlu memohon janji temu dengan melayari laman web www.tabunghaji.gov.my. Janji temu yang dilakukan sebelum 31 Mei 2021 adalah terbatal secara automatik dan perlu dibuat semula bagi urusan kritikal sahaja. Kehadiran di cawangan tanpa membuat janji temu adalah tidak dibenarkan sama sekali.
Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mustakim Mohamad menyarankan para pendeposit untuk melakukan transaksi melalui platform dalam talian yang disediakan menerusi aplikasi THiJARI. Pendeposit boleh melakukan pindahan simpanan dari mana-mana bank ke dalam akaun TH melalui FPX secara masa nyata (real-time) selain boleh membuat arahan pindahan simpanan tetap secara bulanan melalui e-Mandate FPX.
Para Pendeposit juga boleh melakukan transaksi di mesin pengeluaran tunai (ATM), mesin deposit tunai (CDM) dan Perbankan Internet empat rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB Bank. Selain itu juga, pendeposit boleh melakukan pindahan simpanan dari mana-mana bank ke dalam akaun TH melalui JomPay di perbankan internet bank masing-masing.
TH ingin mengucapkan terima kasih atas keprihatinan dan kesabaran para pendeposit mengharungi tempoh lockdown ini dalam memastikan usaha Kerajaan membendung pandemik Covid-19 dan usaha TH dalam memberi perkhidmatan yang terbaik melalui saluran fizikal dan elektronik menjadi realiti. Segala kesulitan amatlah dikesali.
Untuk sebarang pertanyaan berkaitan perkhidmatan TH, orang ramai boleh menghubungi Talian Khidmat Pelanggan TH (THCC) di talian 03-6207 1919.
-Tamat-
OPERASI KAUNTER PERKHIDMATAN TH DITUTUP SEMENTARA (FINAL - 31052021).pdf