KUALA LUMPUR, 28 Mei 2018 – Bersempena dengan kehadiran bulan Ramadan Al Mubarak 1439H, Lembaga Tabung Haji (TH) meneruskan tradisi tahunannya dengan penganjuran pelbagai aktiviti keagamaan dan kerohanian di Surau Menara TH Tun Razak.
Antara program-program yang dirancang sepanjang bulan Ramadan adalah World Quran Hour, Program Interfaith bersama Multiracial Reverted Muslim (MRM), program bual bicara ambang Syawal, majlis berbuka puasa dan moreh, solat terawih bersama imam-imam jemputan, qiamullail, sahur dan solat subuh lambuk (selepas solat Zohor; Isnin dan Khamis). berjemaah, solat zuhur dan kuliah tengah hari dan juga pengedaran bubur lambuk (selepas solat Zohor; Isnin dan Khamis).
Tuan Haji Mohd Hisham Harun, Pengerusi Surau TH berkata, Surau Menara TH Tun Razak yang terletak di lokasi yang strategik, menjadikan ia sebuah lokasi pilihan dan tumpuan pelbagai warga kota khususnya yang bekerja di sekitar Jalan Tun Razak untuk mengerjakan ibadat. TH juga membuat persiapan awal bagi menampung jumlah jemaah yang lebih besar dengan menganjurkan solat terawih di dewan besar TH. Orang ramai khususnya umat Islam serta seisi keluarga dijemput beramai-ramai untuk mengimarahkan Surau Menara TH Tun Razak untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan, tambah beliau lagi.
Selain itu juga, TH turut menganjurkan aktiviti-aktiviti dalaman kepada anggota TH seperti Program Ziarah Prihatin Asnaf dan Program TH Bertadarus & Majlis Khatam Al-Quran Perdana. Sebahagian besar program-program yang dirancang ini bermula sejak bulan Rejab bersempena dengan Program RSR (Rejab-SyaabanRamadan) sehingga 27 Ramadan 1439H.
Pengimarahan Surau Menara TH Tun Razak dengan pelbagai aktiviti ini merupakan sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TH bagi meningkatkan syiar Islam, tambahnya lagi.
TH turut membuka kaunter kutipan zakat fitrah sepanjang bulan ini di Menara TH Tun Razak dan Menara TH Selborn bagi memudahkan para pendeposit dan orang ramai untuk menunaikan kewajipan rukun Islam ke-empat.
-TAMAT-