Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran dan TH World #QuranHour dalam usahanya meneruskan tradisi meningkatkan syiar Islam dan memberi tumpuan terhadap pelbagai aktiviti membudayakan Al-Quran di ibu pejabat, cawangan dan anak-anak syarikat; BIMB Holdings Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad, TH Properties, TH Hotels & Residences, TH Travel & Services, TH Plantations Berhad dan Theta Edge - di Surau Menara TH Tun Razak.
Seramai 1,072 anggota di peringkat TH dan anak syarikatnya di seluruh negara yang telah melengkapkan bacaan Al-Quran dalam program TH ini yang telah dilaksanakan sejak bulan Rejab yang lalu. Penganjuran program ini adalah bagi menyemai semangat cintakan kalamullah (Al-Quran) dalam anggota Kumpulan TH.
Pada majlis yang sama juga, TH turut memberikan sokongan penuh bagi program TH World #QuranHour dengan bacaan dan taddabur Surah Al-Kahfi sebagai surah pilihan. Program kerjasama antara Surau TH dan Yayasan Ummah Ikhlas ini merupakan sebuah landasan solidariti Ummah di bawah naungan Al-Quran.
Memasuki tahun kelima penganjuran Program Rejab, Syaaban dan Ramadan (RSR), TH menganjurkan pelbagai program secara berterusan bermula bulan Rejab sehingga akhir Ramadan antaranya Bual Bicara Ambang Ramadan, Forum Pasca Perkahwinan, Daurah Kitab Israk Mikraj, majlis berbuka puasa dan moreh, solat terawih bersama imam-imam jemputan, qiamullail, sahur dan solat subuh berjemaah, solat zuhur dan kuliah tengah hari dan juga pengedaran bubur lambuk (selepas solat Zohor; Isnin dan Khamis), di samping penganjuran program-program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Malaysia dan luar negara.
Antaranya, serahan bantuan Ramadan & Raya TH-LZS 2019 berjumlah RM1.3 juta kepada 2,600 asnaf di daerah Sepang; Program Ihya’ Ramadan 1440H di Rumah Anak Yatim dan Pusat Tahfiz Darul Yatama Yacob Khan, Beaufort; Masjid Angkat TH di Kusial Bharu, Tanah Merah, Kelantan; Program Iftar Barakah bersama Masyarakat Orang Asli di Ulu Yam, Selangor dan Penyerahan Sumbangan Masjid di Negeri Sabah.
Agihan sumbangan berbentuk kewangan dan sumbangan pakaian serta barangan keperluan harian di luar Negara turut diadakan di Madrasah As Sobirin dan Masjid Al-Akbar, Kg. Chanang, Kemboja yang melibatkan seramai 19 orang delegasi terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Surau dan Anggota TH yang diketuai oleh Tuan Haji Hizamuddin b. Jamalluddin, Ketua Pegawai Strategi dan Ketua Staf TH pada awal Mei 2019.
Anak-anak syarikat TH turut sama menganjurkan pelbagai program bersempena bulan Ramadan seperti Program Semarak Ramadan Berita Harian (BH) tahun kesembilan anjuran BIMB Holdings Berhad. Program ini diadakan untuk memupuk semangat ukhwah serta mengeratkan silaturahim antara masyarakat setempat, warga media (BH) dan Kumpulan BHB.
YBhg. Dato’ Sri Zukri Samat, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH berkata, Program RSR tahun ini mengekalkan beberapa program utama diteruskan bagi memenuhi tanggungjawab sosial dalam membantu golongan yang memerlukan dalam bulan Ramadan dan meringankan beban mereka dalam membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri yang bakal tiba. Di samping itu juga dapat meningkatkan tahap sosioekonomi ummah secara keseluruhan.
Selain memenuhi tuntutan Islam untuk saling bantu-membantu terutamanya golongan asnaf, program CSR ini merupakan platform terbaik untuk TH mendekati dan mengeratkan lagi ukhuwah dengan masyarakat yang memerlukan. Kumpulan TH telah mengeluarkan zakat sebanyak RM98.75 juta pada tahun 2018. Jumlah ini adalah keseluruhan bayaran zakat TH termasuk anak-anak syarikat seperti BIMB Holdings dan Bank Islam Malaysia Berhad, tambah beliau lagi.
27052019_LEBIH 1,000 ANGGOTA KUMPULAN TH JAYAKAN PROGRAM.pdf