KUALA LUMPUR, 24 Mei 2021 – Transaksi melalui platform dalam talian jelas menjadi pilihan pelanggan Lembaga Tabung Haji (TH) apabila hampir 80 peratus dari jumlah keseluruhan transaksi kewangan berlaku dalam talian.
Sehubungan itu, TH menyaran agar para pendepositnya terus meningkatkan penggunaan perkhidmatan dalam talian sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengurangkan interaksi bersemuka di kaunter cawangan TH seluruh negara berikutan penularan Covid-19 yang amat membimbangkan pada masa kini.
Tuan Haji Mustakim Mohamad, Pengarah Eksekutif Operasi berkata para pendeposit dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan dalam talian disediakan oleh TH iaitu THiJARI. THiJARI merupakan perkhidmatan dalam talian yang dilancarkan pada awal tahun lalu bagi memudahkan para pendeposit untuk melakukan transaksi dan menerima perkhidmatan TH secara atas talian seperti menyemak akaun, mencetak penyata, pindahan wang, perkhidmatan berkaitan haji termasuk pendaftaran, surat tawaran dan rayuan haji serta turut memaparkan maklumat tentang Kelab TaHa.
“Para Pendeposit juga boleh melakukan transaksi di mesin pengeluaran tunai (ATM), mesin deposit tunai (CDM) dan Perbankan Internet empat rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB Bank,” tambah beliau lagi.
TH komited dalam menggalakkan para pendeposit untuk melakukan transaksi secara dalam talian selaras dengan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara sebagai usaha membantu mengekang penularan wabak Covid-19 dari terus merebak.
Demi menyokong saranan Kerajaan, TH telah menambah lagi perkhidmatan melalui THiJARI di mana pengguna kini boleh melakukan pindahan simpanan dari mana-mana bank ke dalam akaun TH melalui FPX secara dalam talian dan masa nyata (real-time) tanpa perlu hadir ke cawangan TH. Pendeposit juga boleh membuat arahan pindahan simpanan tetap secara bulanan melalui e-Mandate FPX. Pengguna hanya perlu layari laman sesawang www.thijari.com.my atau aplikasi THiJARI untuk menggunakan perkhidmatan baru tersebut dan ia adalah percuma.
Pada awal bulan Mei 2021, simpanan terkumpul TH terus berkembang sihat kepada paras tertinggi sebanyak RM80 bilion dengan jumlah pendeposit aktif kirakira sembilan (9) juta orang.
Untuk sebarang pertanyaan berkaitan perkhidmatan TH, orang ramai boleh menghubungi Talian Khidmat Pelanggan TH (THCC) di talian 03-6207 1919.
-Tamat-
GUNA PERKHIDMATAN DALAM TALIAN SEMASA PKP – TABUNG HAJI (FINAL 24052021).pdf