KUALA LUMPUR, 20 MEI 2024 – Lembaga Tabung Haji (TH) bersama Islamic Development Bank di Arab Saudi (IDB) telah menetapkan harga qurban bersamaan RM858 untuk seekor kibas bagi musim haji 1445H/2024M.
Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman sebagai Ketua Rombongan Haji berkata pihak IDB telah bersetuju untuk menawarkan harga yang lebih rendah iaitu RM858 untuk seekor kibas, berbanding RM936 sebelumnya.
“IDB telah bersetuju menawarkan harga yang lebih rendah dengan mengambil kira hubungan baik antara TH dengan IDB serta komitmen kedua-dua pihak sejak lebih sedekad yang lalu,” kata Dato’ Sri Syed Saleh.
“Perubahan harga qurban ini merupakan hasil rundingan berterusan oleh TH bersama IDB bagi mendapatkan harga yang lebih baik bagi jemaah haji Malaysia. Aqad asal juga masih terpakai dengan penurunan harga ini,” kata beliau lagi.
Sehubungan itu, TH akan menyelaras semula akaun simpanan TH bakal haji dan pendeposit yang telah membuat pembayaran penyertaan ibadah qurban Tanah Suci sebelum ini dengan mengambil kira perubahan harga yang ditawarkan oleh pihak IDB.
TH menawarkan perkhidmatan bayaran dam dan qurban melalui aplikasi THiJARI untuk para bakal jemaah haji yang akan melaksanakan Rukun Islam ke-5 pada musim haji tahun 1445H/2024. Untuk menggunakan perkhidmatan pembayaran dam dan qurban, bakal-bakal haji dan pendeposit TH perlu mendaftar sebagai pengguna THiJARI melalui pautan www.thijari.com.my.
Bagi sebarang pertanyaan, sila hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian +603 - 6207 1919; Faks: +603 - 7728 4959 dan emel : th-info@lth.gov.my.
-TAMAT-