KUALA LUMPUR, 8 April 2019: Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Dato’ Sri Zukri Samat berkata bahawa urusan pada hari ini adalah seperti biasa di kesemua cawangan TH dan tiada pengeluaran yang luarbiasa.
Menjawab pertanyaan media sama ada terdapat peningkatan dalam pengeluaran berikutan pembahagian hibah 1.25% untuk tahun 2018, beliau berkata: "Cawangan kami melaporkan urusan seperti biasa dan dimaklumkan bahawa cawangan-cawangan kami juga menerima caruman deposit baru."
“Saya ingin menegaskan bahawa khabar angin yang tular di media sosial adalah sama sekali tidak benar dan tidak berasas. Ini adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab.”
Beliau berkata lagi bahawa TH akan membuat laporan polis jika terdapat sebarang khabar-khabar angin oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, bertujuan untuk menimbulkan kebimbangan di kalangan pendeposit.
Beliau juga berkata: "TH ingin memberi jaminan kepada para pendeposit bahawa bukan sahaja wang mereka selamat, tetapi kami komited menjana pendapatan yang mampan untuk mengoptimumkan pulangan mereka, sambil menumpukan kepada mandat kami untuk membantu umat Islam menyimpan dan mempersiapkan diri untuk urusan haji mereka."