KUALA LUMPUR – 26 Mac 2012, Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan seramai 3 juta daripada lebih 7 juta pendepositnya tidak mempunyai penamaan waris yang boleh mendatangkan kesukaran ahli keluarga untuk membuat tuntutan wang pusaka sekiranya pendeposit tersebut meninggal dunia.
Tabung Haji sentiasa merujuk kepada borang penamaan waris sebelum meluluskan sebarang tuntutan wang pusaka bagi kes-kes kematian pendepositnya. Oleh yang demikian Pengurusan Tabung Haji menyeru semua pendepositnya yang belum
membuat sebarang penamaan waris agar bertindak segera membuat penamaan waris di mana-mana 119 cawangan Tabung Haji di seluruh negara.
Borang penamaan waris boleh didapati di semua cawangan Tabung Haji dan juga boleh dimuat turut dari laman sesawang TH www.tabunghaji.gov.my. Bagi tujuan keselamatan dan proses memperakui kesahihan butiran pendeposit dan penamaan
waris, borang tersebut hendaklah diserahkan oleh pendeposit sendiri di cawangan Tabung Haji yang berdekatan.
Tabung Haji juga menyarankan agar pendeposit yang telah membuat penamaan waris supaya menyemak dan mengemas kini penamaan waris mereka sekiranya terdapat perubahan dalam kehidupan seperti berkahwin, bercerai, kelahiran dan kematian di dalam keluarga.
Sebarang pertanyaan lanjut mengenai saranan tersebut, para pendeposit boleh menghubungi Tabung Haji Contact Centre 03-62071919; faks 03-77284959 atau e-mel ke th-info.gov.my.
-Tamat-