KUALA LUMPUR, 14 FEBUARI 2022 – Lembaga Tabung Haji (TH) telah menyumbang sebanyak 25 buah kenderaan (van serbaguna) bernilai RM2.3 juta kepada rumah kebajikan dan persatuan terpilih menerusi Program Mobiliti TH di Majlis Serahan Perdana di Menara TH Tun Razak, hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad berkata, masih terdapat badan kebajikan yang masih kekurangan dana untuk membeli kenderaan sendiri dan sejak wabak COVID-19 melanda negara pada akhir 2019, sumber kewangan mereka turut terjejas.
“Sehubungan itu, sumbangan van oleh pihak TH ini saya pasti adalah satu nikmat yang ditunggu-tunggu dan amat bermakna buat semua penghuni di pertubuhanpertubuhan amal yang telah terpilih.”
Pengerusi TH, YBhg Tan Sri Azman Haji Mokhtar, turut berkata TH telah membuat agihan kenderaan pelbagai fungsi atau van serbaguna kepada masjid-masjid bagi pengurusan jenazah dan aktiviti agama penduduk kariah sejak 2016. Sejak diperkenalkan, TH telah menyumbang lebih 56 buah kenderaan kepada masjidmasjid terpilih di seluruh negara untuk manfaat lebih 200 ribu kariah (penduduk sekitar).
Program Mobiliti TH merupakan salah satu daripada program zakat TH bertujuan untuk memudah dan melancarkan urusan pengangkutan dalam menjalankan aktiviti harian komuniti.
Usaha TH dalam memperluaskan lagi sumbangan Program Mobiliti ini melalui sumbangan van penumpang kepada badan-badan kebajikan seperti rumah anak yatim, rumah orang tua dan rumah penjagaan OKU juga adalah kerana terdapat banyak badan-badan kebajikan di Malaysia yang tidak mempunyai pengangkutan yang selamat dan sesuai untuk para penghuni mereka menjalankan aktiviti harian.
Melalui sumbangan 25 buah van penumpang ini, seramai 1,582 orang yang terdiri daripada penghuni badan kebajikan tersebut akan menerima manfaat untuk kegunaan pengangkutan yang selesa buat mereka.
TH turut melaksanakan Program-program zakat lain seperti Program Ehsan, Ikhtiar dan A’fiat. Pada tahun 2021 sahaja, TH telah memperuntukkan sebanyak lebih RM19 juta wang zakat untuk pelaksanaan program-program ini. Keprihatinan TH dalam melaksanakan program kemasyarakatan ini adalah selaras dengan visi dan misinya dalam pembangunan sosioekonomi ummah dan negara.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Dato’ Sri Amrin Awaluddin, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Barisan Ahli Jawatankuasa Zakat Wakalah TH, dan para Wakil Pertubuhan Kebajikan dan Persatuan seluruh negara.
-Tamat-
25 Rumah Kebajikan & Persatuan Terpilih Seluruh Negara Terima Van Serbaguna Sumbangan TH