KUALA LUMPUR, 29 JANUARI 2024: Lembaga Tabung Haji (TH) menawarkan hadiah berupa pakej umrah dan wang tunai untuk dimenangi oleh para pendeposit TH menerusi pelbagai program menarik yang dianjurkan sepanjang tahun 2024.
Pendeposit TH berpeluang untuk menjadi pemenang bertuah menerusi lima (5) program utama yang akan dijalankan sepanjang tahun iaitu Al-Falah, Carum & Simpan, Bijaknya Menabung, “Terpaling” Sayang dan Auto Simpan@THiJARI.
Bagi program Al-Falah, Bijaknya Menabung dan Carum & Simpan, pendeposit hanya perlu menambah simpanan di akaun TH tanpa melakukan transaksi pengeluaran untuk penyertaan. Program Al-Falah terbuka kepada semua pendeposit yang berumur 18 tahun ke atas dengan tambahan simpanan serendah RM100. Pemenang akan dipilih melalui empat (4) siri cabutan sukuan dan dua (2) siri cabutan utama dengan jumlah keseluruhan hadiah bernilai RM300,000.
TH terus menggalakkan pendeposit sama ada dalam sektor awam dan sektor swasta untuk mencarum di TH secara bulanan untuk tujuan menunaikan ibadat haji.
Dengan caruman bulanan serendah RM100 sebulan, pendeposit berpeluang menyertai program Carum & Simpan yang menawarkan pakej umrah dan pelbagai hadiah lumayan.
Dua (2) siri cabutan akan dilaksanakan untuk mencari pemenang utama mengikut kategori sektor awam dan swasta.
Bagi meningkatkan lagi kesedaran tabungan haji di kalangan ibu bapa buat anak-anak mereka, TH juga telah merangka pelbagai program khusus untuk para pendeposit muda yang berumur 17 tahun ke bawah antaranya program Bijaknya Menabung di mana pendeposit juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik.
Selain itu, terdapat juga program “Terpaling” Sayang yang akan memilih pemenang bertuah setiap sukuan daripada kalangan pendeposit yang mendaftar TH Khairat. Manakala, program Auto Simpan@THiJARI pula terbuka kepada semua pendeposit yang membuat transaksi pindahan simpanan ke akaun TH secara dalam talian.
TH juga akan meneruskan program Kelab TaHa yang akan menganjurkan pelbagai aktiviti kepada pelajar sekolah antaranya pertandingan Musabaqah Kelab TaHa dan kejohanan Futsal TaHa Bestari yang menawarkan hadiah lumayan RM1,000 kepada johan bagi setiap pertandingan tersebut.
Ini merupakan usaha TH untuk mendekati generasi muda menerusi aktiviti yang memberi manfaat serta membentuk modal insan yang cemerlang secara holistik.
TH akan terus komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada pendeposit TH dengan pelbagai program dan aktiviti menarik yang telah diatur sepanjang tahun untuk menghargai pendeposit yang terus setia menyimpan di TH.
Peluang untuk memenangi hadiah yang ditawarkan menjadi nilai tambah kepada pendeposit selain simpanan yang patuh syariah, ditunaikan zakat dan dijamin kerajaan.
-Tamat-