Kuala Lumpur, 27 Januari 2025: Lembaga Tabung Haji (TH) telah menyerahkan sumbangan dana sebanyak RM500,000 bagi membaik pulih Masjid Maqbul di Kampung Pulau Mabul, Semporna dan sebuah van jenazah kepada Masjid Al Falah, Kampung Pasir Putih Baru, Tawau menerusi dua program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TH.
Sumbangan dana kewangan tersebut merupakan salah satu program CSR Zakat TH menerusi Program Musolla TH. Peruntukan bantuan berkenaan digunakan untuk membaik pulih struktur bangunan serta menaik taraf Masjid Maqbul untuk memberikan lebih keselesaan beribadah dan tempat aktiviti kemasyarakatan lebih 3,000 penduduk Muslim di Pulau Mabul.
Program yang mula dianjurkan pada tahun 2023 ini merupakan sebuah inisiatif sumbangan dana zakat TH bagi menaik taraf atau bina baru tempat ibadah seperti surau dan masjid yang daif di kawasan pedalaman terpilih untuk membantu masyarakat Muslim.
Sebagai institusi kewangan Islam, TH melunaskan zakat setiap tahun bagi pihak pendeposit dan TH juga menyalurkan sebahagian dana zakat secara terus kepada golongan asnaf yang memerlukan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Haji Mokhtar hadir merasmikan program Santuni Komuniti Madani di Masjid Maqbul pada 26 Januari lalu. Turut hadir semasa majlis perasmian ialah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Syed Hamadah Syed Othman serta barisan pengurusan tertinggi TH.
YB Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im berkata inisiatif ini adalah selari dengan hasrat Kerajaan Madani yang prihatin terhadap kepentingan dari aspek kerohanian di kalangan umat Islam di samping menyuburkan syiar Islam di Malaysia.
Sementara itu, Tuan Syed Hamadah berkata TH telah memperuntukkan hampir RM2.5 juta bagi program Musolla TH untuk tahun 2024 di mana sebelum ini TH juga telah menyerahkan sumbangan bagi menaiktarafkan empat buah surau di perkampungan orang asli di Negeri Sembilan dan Pahang.
“Melihatkan kepada pengimarahan di Masjid Mqbul oleh penduduk kampung walaupun struktur masjid yang uzur dan daif, TH terpanggil untuk menghulurkan sumbangan sebagai tambahan kepada proses pembaikpulihan keseluruhan untuk manfaat komuniti di Pulau Mabul ini,” jelas Syed Hamadah
Dalam perkembangan berbeza, TH juga telah menyerahkan sebuah van jenazah kepada Masjid Al Falah, Tawau bersempena Program Mobiliti TH 2024 Peringkat Negeri Sabah pada 27 Januari.
“Untuk tahun 2024, TH telah memperuntukkan sejumlah RM3 juta dana zakat untuk Program Mobiliti TH bagi menyediakan sebanyak 17 van dwifungsi kepada surau dan masjid serta pelbagai pusat kebajikan di seluruh negara,” kata Syed Hamadah.
“TH berharap sumbangan van ini akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak masjid dan badan tertentu untuk memudahkan pergerakan aktiviti harian mereka. Insya-Allah, TH sentiasa berusaha memastikan golongan sasaran mendapat faedah dan manfaat dari kesemua program yang kita anjurkan,” tambah beliau lagi.
Sejak mula diperkenalkan pada tahun 2016, TH telah menyumbang sebanyak 136 unit kenderaan van dwifungsi untuk manfaat lebih daripada 300,000 orang ahli kariah masjid dan surau serta pusat jagaan dan badan kebajikan di seluruh negara.
-TAMAT-
TH Sumbang Dana RM500,000 dan Van Jenazah untuk Warga Sabah
PDF Kenyataan Akhbar