KUALA LUMPUR, 12 NOVEMBER 2023: Peningkatan mendadak jemaah haji yang menolak bantuan kewangan haji pada tahun 2023 mencerminkan ramai yang sudah mula memahami dan menghayati konsep istito’ah bagi mengerjakan rukun Islam ke-lima. Ibadat haji merupakan rukun Islam yang hanya diwajibkan kepada mereka yang mampu dari segi kesihatan, kewangan, keselamatan dan mempunyai kebenaran untuk menunaikannya.
Dari segi keperluan kesihatan, ibadat haji memerlukan individu untuk melakukan tawaf, sa’ie, dan bergerak dari satu kawasan ke kawasan yang lain. Sebagai contoh, tawaf dan sa’ie sahaja melibatkan pergerakan sejauh 4-6 km.
Cuaca di Arab Saudi yang boleh mencecah hampir 50 celcius juga antara cabaran besar. Jemaah juga perlu mempunyai kewangan yang cukup bayaran sepanjang perjalanan haji untuk membiayai termasuk semasa di Tanah Suci, disamping memastikan keluarga di Tanah Air mempunyai pembelanjaan harian yang mencukupi.
“Ibadat haji adalah istimewa kerana ianya menuntut pengorbanan yang tinggi bermula dengan persediaan, disamping urusan ibadat yang mengambil masa lebih sebulan.
Lembaga Tabung Haji (TH) menyeru agar umat Islam negara benar-benar memahami konsep istito’ah kerana ia menjadi salah satu kewajipan terlebih dahulu untuk mematuhi hukum syarak ini sebelum mengerjakan haji,” kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Syed Hamadah Syed Othman.
Pada musim haji tahun 1444H/2023, seramai 67 orang dari kalangan B40 dan M40 menolak Bantuan Kewangan Haji secara total dan membayar penuh manakala 396 jemaah haji telah membayar RM1,000 hingga RM12,000 lebih daripada kadar bayaran haji yang ditetapkan.
Ini berbanding musim haji 1443H/2022M yang lalu, dimana seramai 44 orang jemaah telah membuat bayaran penuh kos haji. Konsep istito’ah juga jelas disebut dalam Al-Qur’an pada Surah Ali ‘Imran ayat 97 dimana Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji bagi sesiapa yang mampu.
TH telah memulakan persiapan bagi musim haji 1445H/2024M. Kursus Asas Haji bagi musim 1445H telah bermula pada 27 Oktober 2023 dengan modul sebanyak 13 siri dan diadakan di 206 buah masjid terpilih seluruh negara manakala Kursus Intensif Haji akan di anjurkan pada bulan Februari tahun depan.
Ini akan diikuti dengan Kursus Perdana Haji yang akan diadakan pada bulan April untuk memberikan persediaan yang secukupnya kepada bakal-bakal haji dalam aspek ilmu agama pelaksanaan ibadat haji serta persiapan diri sebelum berangkat ke Tanah Suci.
-Tamat-