Misi utama mereka adalah menyediakan masakan dan makanan yang menyelerakan kepada jemaah dan petugas haji setiap kali bertugas sebagai tukang masak sepanjang musim haji di Tanah Suci.
Chef Haji Ismail Hamid (48 tahun) yang dibantu oleh Chef Bakri Ahmad (41 tahun) dan Chef Yusairi Mustafa (40 tahun) adalah merupakan antara individu terlatih atau tukang masak mahir yang terpilih untuk menyediakan makanan kepada petugas haji di ibu pejabat TH di Bangunan Abraj Al-Janadriah di Makkah pada musim haji tahun ini.
Mula membabitkan diri dalam bidang kulinari sejak berumur 23 tahun dan pernah memasak untuk lebih 10 ribu jemaah Muassasah di Madinah pada tahun 1998 menjadikan Chef Haji Ismail Hamid kaya dengan pengalaman beliau bertugas di dapur Tanah Suci untuk jemaah haji Malaysia.
Peluang untuk berkhidmat bersama TH di Tanah Suci disifatkan sebagai satu nikmat yang dinanti-nanti khususnya apabila dapat menyediakan makanan kepada petugas yang boleh menyantuni para jemaah haji.
“Masih ingat lagi pada tahun 2008, saya masak untuk jemaah haji ketika kemuncak haji di Arafah dengan menggunakan dapur kayu arang - sambil menyarung ihram; kerana turut serta menjalankan ibadah wukuf. Pengalaman seperti ini tidak ternilai kerana kita ingin memastikan para jemaah dapat makan dan mengalas perut supaya tidak mengganggu ibadah mereka.”
Chef Haji Ismail Hamid yakin tujuan utama bertugas dan beribadah ini adalah seiring dalam memastikan tanggungjawab yang dipikul di samping mencari keberkatan dalam tugasan. Kehadiran chef ini beserta menu, resipi dan kepelbagaian masakan – sekaligus dapat menyuntik semangat khususnya para petugas haji Malaysia, seolah-olah sedang makan di Tanah Air.
Beliau turut mengambil pendekatan beribadah menerusi masakan dengan memperjuangkan penyediaan masakan yang halal dan bersih dari segenap aspek dengan mematuhi peraturan standard operasi pengendalian penyediaan makanan yang ditetapkan oleh TH, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Arab Saudi.
“Saya amat bersyukur kerana dapat bekerja sambil beribadat. Bertugas di Tanah Suci ini adalah impian yang amat saya harapkan dan Alhamdulillah, pada tahun ini, dimakbulkan” tambah beliau.
Chef Haji Ismail Hamid yang mempunyai lebih 27 tahun pengalaman dalam penyediaan makanan serta pernah bertugas di hotel lima bintang, turut mempunyai perniagaan katering di Tanah Air.