SEPANG, 20 MEI 2023 – Penerbangan pertama yang membawa 284 bakal jemaah haji Malaysia bagi musim haji tahun ini berlepas ke Tanah Suci pada awal pagi Ahad, 21 Mei 2023 bersamaan 1 Zulkaedah 1444H.
Penerbangan tersebut berlepas pada jam 2.05 pagi (21 Mei) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dengan pesawat Malaysia Airlines (MH 8056) dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah pada jam 5.50 pagi waktu tempatan pada yang sama.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Tuan Syed Hamadah Syed Othman berkata tahun ini seramai 31,600 jemaah haji yang merupakan kuota penuh rasmi negara akan berlepas ke Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam ke-lima.
“Alhamdulillah, operasi haji tahun ini sudah kembali seperti sebelum wabak COVID-19 melanda. Insya-Allah TH telah bersedia untuk menyantuni kesemua jemaah haji negara dengan kerjasama petugas-petugas haji termasuk kakitangan daripada agensi-agensi lain bagi memastikan perjalanan jemaah haji di Tanah Air dan di Tanah Suci adalah lancar,” kata beliau.
Walaupun keadaan telah kembali normal, Tuan Syed Hamadah terus mengingatkan jemaah haji agar kekal berdisiplin, mematuhi SOP serta menjaga kesihatan dan kebersihan diri sepanjang di Tanah Suci supaya tidak dijangkiti sebarang penyakit yang berjangkit.
Pengarah Eksekutif Haji TH merangkap Ketua Rombongan Haji Malaysia, Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman turut hadir mengucapkan selamat jalan kepada kumpulan pertama bakal haji tersebut serta mendoakan kesemua jemaah haji Malaysia terus kekal sihat dan dapat melaksanakan ibadat haji dengan sempurna.
“Sepertimana yang kita sedia maklum, sekarang adalah musim panas di Arab Saudi di mana suhu boleh mencecah hampir 50 darjah celcius atau lebih. Para jemaah haji dinasihatkan untuk tidak terdedah terlalu lama kepada cuaca panas terik untuk mengelakkan daripada mengalami strok haba dan dehidrasi,” nasihat beliau.
Beliau juga mengucapkan setinggi tinggi penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi yang masih meneruskan program Makkah Route yang memudahkan urusan pelepasan imigresen semasa di KLIA lagi.
Pada tahun ini, sebanyak 98 penerbangan menerusi Malaysia Airlines dan juga Saudia Airlines akan membawa jemaah haji negara ke Tanah Suci berbanding hanya 48 penerbangan sahaja pada tahun lalu.
-TAMAT