SEPANG, 14 MEI 2023: Seramai 160 petugas haji Lembaga Tabung Haji (TH) Musim Haji 1444H/2023M berlepas ke tanah suci hari ini bagi membuat persediaan awal untuk menyantuni jemaah haji Negara.
Petugas haji yang berangkat pada hari ini terdiri daripada petugas kebajikan, perubatan, beberapa agensi luar serta media. Keberangkatan semua petugas dilakukan secara berperingkat menerusi beberapa siri penerbangan sepanjang fasa pertama operasi haji tahun ini.
Pengarah Eksekutif Haji TH, Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata seramai 670 petugas haji akan digerakkan ke Arab Saudi bagi menjayakan perjalanan operasi haji tahun ini yang terdiri daripada 340 orang petugas kebajikan, 296 orang petugas perubatan dan selebihnya daripada agensi luar seperti Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta media.
“Kumpulan pertama yang terdiri daripada 16 petugas perubatan dan petugas teknologi maklumat (IT) telah berlepas pada haji Jumaat, 12 Mei lalu dan akan disusuli dengan tiga kumpulan besar pada hari ini (14 Mei), 18 Mei dan 20 Mei 2023,” tambah beliau Penerbangan pertama jemaah haji negara akan bermula pada 21 Mei 2023 manakala penerbangan pulang terakhir adalah pada 1 Ogos 2023.
Bagi tahun ini, hari Wukuf iaitu 9 Zulhijjah dijangka pada hari Selasa, 27 Jun 2023. Sebanyak 98 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa kesemua jemaah haji Malaysia yang melibatkan Syarikat Penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia.
Lapan (8) stesen berlepas akan digunakan untuk para jemaah haji di seluruh Malaysia bagi urusan melapor diri. Antara stesen berlepas adalah di Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kedah, Bayan Lepas, Senai, Kuching, Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” jelasnya.
-TAMAT-